Aaron-Wooi Yik semakin hampir ke Jelajah Dunia Akhir

Aaron-Wooi Yik semakin hampir ke Jelajah Dunia Akhir


PETALING JAYA: Beregu lelaki No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi menghidupkan peluang untuk melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas mengesahkan kemaraan ke suku akhir China Masters 2024 di Shenzen, hari ini.

Gandingan No. 5 dunia itu mara dengan mudah selepas mengetepikan rakan senegara, Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong 21-13, 21-19 dalam tempoh 36 minit pada aksi pusingan kedua di Arena Shenzen.

Aaron-Wooi Yik yang ketika ini menduduki ranking kesembilan dalam Jelajah Dunia perlu mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir China Masters untuk melonjak ke kedudukan lapan terbaik untuk layak beraksi di Hangzhou, bulan depan.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu bagaimanapun, menghadapi ujian getir bagi penentuan ke separuh akhir selepas dijadualkan menentang pilihan ketiga yang juga pemain tuan rumah, He Jing Ting-Ren Xiang Yu di suku akhir esok.

Terdahulu, pasangan China itu mara ke suku akhir selepas menumbangkan satu lagi beregu negara, Arif Junaidi-Yap Roy King 21-10, 21-19.

Dalam pada itu, beregu lelaki profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei menepati ramalan apabila mengatasi pasangan Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi-Lin 21-18, 21-16 dalam aksi pusingan kedua.

Juara Terbuka China 2024 itu, ketika ini sudah menempah tiket ke Hangzhou dan seterusnya akan berdepan pasangan Indonesia, Sabar Karyaman Gutaman-Moh Reza Pahlevi Isfahani bagi perebutan tiket ke separuh akhir, esok.

Dalam saingan beregu wanita pula, gandingan No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah terpaksa bekerja keras dalam pertarungan tiga set dengan pasangan ‘underdog’ dari Jepun, Arisa Igarashi-Ayako Sakuramoto untuk melangkah ke suku akhir.

Beregu No. 6 dunia itu seterusnya akan membuat perhitungan dengan pasangan tuan rumah yang juga pilihan kedua kejohanan, Liu Sheng Shu-Tan Ning pada perlawanan suku akhir, esok. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top