Aaron (kiri) dan Wooi Yik akan menentang pasangan tuan rumah dalam aksi final Korea Masters di Jeolla pada Ahad. Foto Agensi
BEREGU utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menepati ramalan apabila mara ke pentas akhir Kejohanan Badminton Korea Masters di Jeolla sebentar tadi.
Kejayaan tersebut diraih selepas pilihan pertama kejohanan berstatus Super 300 itu menyingkirkan Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi-Lin dalam aksi separuh akhir secara straight set.
Dalam aksi di Iksan Gymnasium, Iksan City tersebut, pasangan negara yang mengintai gelaran pertama musim ini ditentang sengit pasangan dari Taiwan itu sebelum menang 21-17 pada set pertama.
Pasangan nombor 76 dunia itu cuba bangkit pada set kedua, namun terpaksa akur apabila pengalaman menjadi pemisah setelah Aaron-Wooi Yik mengesahkan kemenangan 21-16.
Kemenangan tersebut membolehkan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 yang menghuni ranking nombor enam dunia itu berdepan beregu tuan rumah, Jin Yong-Kim Won-ho dalam aksi final pada Ahad.
Pasangan yang menghuni ranking ke-73 dunia itu mara ke final selepas menumpaskan rakan senegara, Ki Dong-ju dan Seo Seung-jae 16-21, 21-19,21-16 dalam satu lagi aksi separuh akhir.