Aaron (kanan) dan Wooi Yik boleh berkira-kira untuk berehat selepas mengharungi kejohanan yang padat sejak April. Foto Bernama.
BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik akhirnya terpaksa akur dengan cabaran fizikal dan mental apabila tumpas pada pusingan pertama Terbuka Indonesia sebentar tadi.
Pasangan nombor tiga dunia itu sudah mengerah segala kudrat apabila beraksi di empat pentas final sejak pertengahan April lalu.
Istora Senayan, Jakarta akhirnya menjadi saksi mereka tewas di tangan Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard.
Namun kemenangan pasangan Denmark itu bukan diraih dengan mudah apabila mereka dipaksa bekerja keras sehingga ke set penentuan.
Mereka bermula positif apabila menguasai set pertama dengan kemenangan 21-13.
Enggan mengalah, Aaron-Wooi Yik bangkit mengikat kedudukan 1-1 apabila menang permainan kedua 21-19.
Bagaimanapun langkah pasangan negara terhenti di set ketiga setelah tumpas 18-21 dalam masa 58 minit aksi.
Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik unggul dengan gelaran Kejohanan Badminton Asia (BAC) pada 13 April.
Ia kemudian disusuli dengan kejuaraan di Bangkok menerusi gelaran Terbuka Thailand pada 18 Mei.
Axiata Arena, Bukit Jalil pada 25 Mei pula menjadi saksi Aaron-Wooi Yik muncul naib juara Malaysia Masters setelah tewas di tangan rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun.
Mereka kembali ke puncak apabila unggul dengan gelaran Terbuka Singapura Ahad lalu.
Apapun di sebalik perjuangan dan pengorbanan tersebut, Aaron-Wooi Yik sudah mengumpul RM741,147 daripada lapan kejohanan termasuk separuh akhir Indonesia Masters dan Terbuka India.