'Abang Long' Fattah menang trofi Aktor Filem Popular

'Abang Long' Fattah menang trofi Aktor Filem Popular


Kuala Lumpur: Penangan cerita panas mengenai isu perceraian dan momen romantis perkahwinan kali kedua Fattah Amin, melayakkan aktor tampan itu mengungguli kategori Artis Kontroversi Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-37 (ABPBH37).

Fattah berkata, apa diraih adalah hasil undian peminat walaupun dirinya bukanlah individu yang cenderung mencipta kontroversi dengan sengaja.

“Tidak sangka saya boleh menang kategori ini. Namun, ini berdasarkan undian peminat. Saya tidak sangka boleh tercalon dalam kategori ini. Saya anggap ini adalah cara peminat hargai artis kegemaran mereka.

“Mungkin peminat tidak kisah kategori apa. Sebaliknya, apa yang penting, mereka undi. Alhamdulillah, ini adalah rezeki saya menang untuk kategori ini,” katanya.

Tumpuan terhadap Fattah yang juga Bintang Paling Popular ABPBH 3.0 bermula apabila bekas isterinya, Nur Fazura memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 13 September, tahun lalu.

Kisah sensasi itu pantas melonjakkan nama Fattah sekali gus menjadi bualan ramai, apatah lagi Fattah dan Fazura saling berbalas kenyataan terutama ketika liputan media kes perceraian mereka di mahkamah.

Akhirnya, pasangan itu dilapor sah bercerai talak satu pada 7 Oktober tahun lalu. Mahkamah Syariah dilapor membenarkan permohonan cerai yang difailkan Fazura mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Kemudian, bermula akhir tahun lalu, Amira Othman disebut-sebut antara wanita yang mempunyai hubungan mesra dengan Fattah.

Selepas sekian lama menjadi tanda tanya dalam kalangan peminat, Fattah dan Amira akhirnya menamatkan teka-teki apabila mengumumkan bakal disatukan sebagai suami isteri pada 14 September lalu.

ABPBH37 diharumkan oleh Daia, jenama penjagaan cucian terkenal, manakala kafe gaya Eropah, DOME Cafe sebagai Rakan Bersama ABPBH37.

Malam kemuncak ABPBH 37 disiarkan secara langsung TV3 dari Hotel Premiera Kuala Lumpur, di sini.

ABPBH37 bertemakan SATU Keunggulan juga boleh distrim melalui Tonton.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top