'Abang meninggal 3 hari sebelum hari lahirnya, saya hilang kata-kata'

'Abang meninggal 3 hari sebelum hari lahirnya, saya hilang kata-kata'


redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kluang: “Terlalu banyak kenangan dengannya kerana arwah satu-satunya abang saya.

“Kami membesar bersama, gaduh atau berbaik pun semua dengannya jadi sedih bila mengenangkan abang yang sudah tiada lagi di dunia ini,” kata Muhammad Affiq Daniel Rozimy, 19, ketika menceritakan kisahnya pemergian abang tersayang, Allahyarham Muhammad Zainul Hafiz Rozimy yang dijemput Ilahi pada Isnin lalu.

Menurutnya, Allahyarham Muhammad Zainul Hafiz yang juga pemandu lori disahkan meninggal dunia jam 8.15 malam pada hari kejadian kerana cedera parah selepas kenderaan dipandu terbabas dekat Jalan Seelong di Kulai, Johor.

Lebih menyedihkan, Allahyarham meninggal dunia tiga hari sebelum tarikh ulang tahun kelahiran ke-25, hari ini.

Muhammad Affiq berkata, dia menerima khabar duka itu ketika di tempat kerja selepas dihubungi ibu saudaranya.

“Saya memang rapat dengan abang walaupun dia tinggal di Mersing bersama datuk saudara manakala saya di sini dengan ayah.

“Lagipun, kami dua beradik saja dan kedua-duanya masih bujang jadi selalu berhubung.

“Disebabkan itu, saya sedih sangat selepas dapat tahu abang terbabit kemalangan dan meninggal dunia sampai hilang kata-kata kerana arwah ibarat tulang belakang saya.

“Tapi Allah SWT lebih menyayanginya dan syukur kerana saya berpeluang menguruskan jenazahnya daripada awal sehingga dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Baru, di sini,” katanya kepada Harian Metro.

Muhammad Affiq berkata, Allahyarham abangnya tidak meninggalkan pesan atau menunjukkan tingkah laku aneh sebelum pemergiannya.

“Kali terakhir kami berjumpa pada 4 April lalu ketika dia pulang ke kampung di sini bertemu dengan saya juga ayah, Rozimy Omar, 53.

“Arwah nampak macam biasa… ceria dan yang tak dapat saya lupakan adalah senyuman juga lambaian terakhirnya sebelum bergerak pulang.

“Selepas itu, kami ada berhubung menerusi WhatsApp cuma arwah tak ada tinggalkan sebarang pesan.

“Cuma dia ada beritahu hasratnya nak ubah suai motosikalnya kerana mahu dibawa untuk pergi konvoi bersama kawan sekampung,” katanya.

Meskipun masih bersedih, Muhammad Affiq reda kerana sedar setiap yang bernyawa akan meninggal dunia bila sampai waktunya.

“Lima tahun lalu kami sekeluarga bersedih dengan kehilangan emak, Allahyarham Zalinah Jumadi yang meninggal dunia kerana kurang darah merah asbab Covid-19.

“Baru-baru ini abang pula dan sekarang hanya tinggal saya bersama ayah yang kurang sihat.

“Sekarang, hanya doa mampu saya titipkan buat emak dan abang dengan harapan roh mereka berdua ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top