Abang Nyamuk 'menyengat' semula

Abang Nyamuk 'menyengat' semula


redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Zaman dulu lain kerana tiada media sosial namun sekarang saya kena sesuaikan diri dan akui TikTok misalnya dapat bantu ketengahkan diri.

“Saya pun tak dapat nafikan peluang jadi duta dan perkongsian di TikTok banyak buka ruang juga peluang baharu yang tak terduga buat saya,” kata atlet bina badan, Syed Fazli Syed Ali, 55, atau dikenali sebagai Abang Nyamuk kerana sinonim dengan iklan satu jenama penyembur nyamuk yang dulu kerap ditayangkan di kaca televisyen.

Syed Fazli, 55, berkata, impak jenama itu sangat kuat buat dirinya hingga masih ramai mengingatinya dan ada di antaranya dalam kalangan generasi muda walaupun dirinya diri bukan selebriti atau pempengaruh media sosial.

“Saya terharu sebenarnya kerana masih ada yang kenal sehingga diajak bergambar waktu singgah ke Hentian Rehat dan Rawat (R&R), bazar Ramadan, kampung dan bersantai di kafe dengan anak juga isteri.

“Pernah sekali, saya nampak ada seorang rakam video saya waktu duduk di kafe jadi pergi mendekatinya dan individu itu kata nak jumpa saya tapi segan… itu sebabnya dia rakam daripada jauh.

“Saya okay saja cuma ada masanya tak senyum, jalan pun tak pandang kiri kanan tapi sekarang cuba banyakkan senyum kerana tak nak dicop sombong kerana saya pun bukannya artis,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sebuah pusat beli belah di Bangsar, dekat sini.

Berkongsi perkembangannya, Syed Fazli berkata, dia tidak lagi bergelar duta kerana sudah tamat kontrak pada tahun lalu.

Bagaimanapun, Syed Fazli berkata, tawaran lain pula yang datang dan agak mengejutkan kerana dipanggil syarikat produksi, Skop Productions untuk hadir ke sesi uji bakat akhir tahun lalu.

“Saya asalnya atlet dan baru beberapa tahun kebelakangan ini aktif di TikTok, itu pun sekadar berkongsi video berkaitan rutin kecergasan.

“Jadi tak sangka juga apabila dipanggil ke sesi uji bakat dan disenarai pendek sebagai salah seorang pelakon pembantu yang akan membintangi sebuah filem.

“Ikutkan, saya memang ada pengalaman berlakon tapi kebiasaannya iklan atas kapasiti duta dan filem pun sudah lama iaitu Buli Balik pada 2006.

“Tapi saya cuba saja dan anggap ini episod baru hidup saya pada 2026 untuk cuba sesuatu yang di luar zon selesa walaupun sedar berlakon susah kerana bukan kena jual muka saja tapi perlu hayati watak,” katanya yang pernah menyandang gelaran Juara Bina Badan Dunia 2008 di Las Vegas dan di Miami, Florida, Amerika Syarikat (AS) pada 2010.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top