Pelakon dan penyanyi, Abby Abadi menitipkan ucapan ulang tahun ke-50 buat bekas suaminya, aktor Norman Hakim, sambil menzahirkan penghargaan atas tanggungjawab yang terus dipikul terhadap anak-anak mereka walaupun hubungan rumah tangga sudah lama berakhir.
Menerusi perkongsian di platform TikTok, Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 46, meluahkan rasa syukur kerana Norman masih mengambil berat serta tidak melupakan tiga cahaya mata mereka iaitu Danish Hakim, Marissa Dania dan Maria Danisha.
“Sanah helwah Norman yang ke-50. Semoga sentiasa hebat, handsome bergaya dan kekal sihat bertenaga. Syukur Allah panjangkan umur kita kerana masih banyak tanggungjawab yang belum selesai dan tidak akan pernah selesai jika kita memahami tugas sebagai hamba Allah di muka bumi ini,” katanya.
Menurut Abby, meskipun mereka berdepan pelbagai fasa dalam kehidupan, peranan sebagai ibu bapa tidak seharusnya terhenti atau dipandang ringan, apatah lagi apabila melibatkan kebajikan anak-anak.
“Terima kasih kerana masih sudi bersama saya meraikan tiga anak-anak besar. Anak-anak kecil awak tentu ada mummynya sentiasa, tetapi tiga anak-anak besar jangan dilupakan.
“Hidup ini ada turun naik. Bila Allah beri rezeki lebih, jangan abaikan tanggungjawab terhadap anak-anak.
“Apa pun keadaan, kita kena sentiasa ingat tanggungjawab sebagai ibu bapa. Anak-anak ini amanah Allah, kena jaga dan didik sebaiknya,” katanya.
Dalam masa sama, Abby berharap agar hubungan kekeluargaan mereka terus terpelihara dan dapat berkumpul bersama bukan sahaja di dunia, malah di akhirat kelak.
“Saya memang maksudkan apa yang saya cakap. Saya mahu kita bersama dan dapat berkumpul selalu, bukan hanya di dunia tetapi juga di akhirat.
“Tak perlu marah-marah, kalau ada rezeki lebih, berilah,” katanya.
@abbyabadi.exclusive Sanah Helwah Oman yg ke 50😍 @normanhakim_786 Semoga sentiasa hebat & dah handsome bergaya.. &Tetap nampak sihat bertenaga kanzzzzz😆 Syukur ALlAH panjangkan umur kita sbb banyak lagi tanggungjawab yg taj selesai & takkan pernah selesai kalau kita memahami tugas kita sbg hamba ALLAH diatas muka bumi ini 😍 Terima Kasih utk banyak sebab.. tulis sini nnti jadi tajuk berita pulak😂 Tapiyg paling utama, masih sudi utk bersama Sy ‘’meraikan anak3 besar” Anak3 kecik awak tentu, ada Mummynya sentiasa.. anak3 besar dilupa jangan ok. Hidup ada turun naik. Ini bila tengah hebat, ALLAH bagi rezeki berganda.. tak sama dah mcm dulu, buleh berbelanja ikut suka, buleh nak marah2 org kalau tak kena hahaha.. anak3 besar jgnlah diabaikan..😖😂 Apapun keadaan, sentiasa beringat .. Besar tanggungjawab kita ni sbg ibu bapa tau bila ALLAH kurniakan anak yg ramai ni.. Kena jaga didik mereka sebaiknya. Sy selalu cakap… nampak mcm lebih kurang, mcm main2 tp Sy maksudkan ye.. Sy nk kita bersama, dapat berkumpul selalu bukan hanya di dunia, tapi di akhirat sana.. dah jangan marah2.. ada duit lebih kasi je.. 😖😂#CapCut
Sementara itu, menerusi platform Threads, pelakon filem Gerak Khas The Movie itu turut menzahirkan penghargaan kepada Norman kerana membiayai tiket percutian buat anak-anak mereka.
“Terima kasih belanja tiket untuk anak-anak besar kali ini. Besar tanggungjawab itu. Terus kuat dan bersemangat.
“Kalau ada rezeki lebih, jangan lupa kongsi dengan tiga anak-anak besar ini,” katanya berseloroh.
Sebelum ini, Abby menarik nafas lega apabila mas kahwin tertunggak daripada bekas suaminya, Norman Hakim, diselesaikan sepenuhnya.
Bagaimanapun, dalam hantaran lain Abby menjelaskan isu ini masih belum selesai kerana Norman perlu membayar nafkah anak termasuk makan, minum dan tempat tinggal untuk 18 tahun.
Artikel Berkaitan: 22 Tahun Menanti, Abby Abadi Lega Norman Hakim Selesai Bayar Mas Kahwin Tertunggak – “Panjang Lagi Ceritanya, Masih Ada Tuntutan Nafkah Anak-Anak Untuk 18 Tahun”
Artikel Berkaitan: “Ini Aku Bagi Amaran Pertama & Terakhir, Jangan Cuba Masuk Campur” – Norman Hakim Buka Mulut Isu Mas Kahwin & Nafkah Tertunggak Abby Abadi






