Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, mengambil pendirian untuk tidak mengulas lanjut mengenai perkembangan terkini Perikatan Nasional (PN), termasuk dakwaan berkaitan hubungan antara PAS dan BERSATU.
Pilih kunci mulut

Sebaliknya, Ahli Parlimen Marang itu meminta semua pihak menantikan kenyataan rasmi daripadanya yang dijangka dibuat minggu depan.
Menurut beliau, penjelasan yang diberikan oleh Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, ketika ini sudah mencukupi bagi menerangkan situasi semasa dalam gabungan berkenaan.
“Setakat ini memadai dengan kenyataan Ahmad Samsuri mengenai perkembangan yang berlaku dalam gabungan itu.
“Cukup dengan kenyataan Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS… tunggu minggu depan giliran saya untuk memberi kenyataan,” katanya di Marang, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan politik semasa, termasuk dakwaan wujud keretakan hubungan antara PAS dan BERSATU meskipun kedua-dua parti menegaskan komitmen untuk terus bersama dalam PN.

Abdul Hadi juga memilih untuk tidak memberikan sebarang komen berhubung penggunaan logo PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Semalam, Ahmad Samsuri dilaporkan memaklumkan bahawa PN sedang melaksanakan penstrukturan semula pentadbiran gabungan itu, termasuk menamatkan perkhidmatan Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, serta Setiausaha Agung parti berkenaan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang berkuat kuasa serta-merta.
Menteri Besar Terengganu itu berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada persiapan PN menjelang PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Artikel lain: Tun Faisal cadang PAS bina identiti sendiri, tak perlu tumpang logo parti lain
Sementara itu, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengesahkan kelmarin bahawa parti berkenaan akan menggunakan logo PN pada kedua-dua PRN tersebut, sekali gus menegaskan kesediaan BERSATU untuk terus kekal bersama dalam gabungan berkenaan.
Sumber: Harian Metro (Baharom Bakar)






