Abdul Hadi gusar, bimbang kejayaan Kerajaan Perpaduan suburkan Islam – Khairuddin

Abdul Hadi gusar, bimbang kejayaan Kerajaan Perpaduan suburkan Islam – Khairuddin


KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang disifatkan semakin gusar dan bimbang dengan kejayaan Kerajaan Perpaduan yang terus menyuburkan Islam di Malaysia sebagai kesinambungan kejayaan pentadbiran terdahulu.

Pas juga khuatir kejayaan kerajaan akan mengancam naratif `Islam terancam’ yang dibina oleh Abdul Hadi hasil idea pemikir-pemikir strategi Pas bagi menghadapi Kerajaan Perpaduan, dakwa Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO (MUU), Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali.

Justeru, katanya, bukan sesuatu yang pelik apabila Abdul Hadi sekali lagi terpaksa mengukuhkan naratif Islam terancam kononnya kerana bukan Islam `naik kepala’ kerana pemimpin lemah ekoran kontroversi melibatkan pemimpin DAP, Teresa Kok.

Sedangkan, tambah beliau, umum melihat bagaimana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pempengaruh daripada Kerajaan Perpaduan menegur Teresa berhubung isu terbabit.

“Pimpinan Pemuda UMNO juga tidak ketinggalan. Pihak berkuasa juga segera menyiasat beliau atas nama 3R (agama, kaum dan raja).

“Saya sendiri turut memberikan pandangan dalam isu mewajibkan pensijilan halal kepada pengusaha makanan non (bukan) Muslim sebagai respon (maklum balas) pada pandangan Teresa.

“Itu semua gambaran ketegasan Kerajaan Perpaduan dalam memperkasa dan menyuburkan Islam khusus dalam isu yang boleh disensasikan atau disalah fahamkan,” kata Mohd Khairuddin yang juga Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Abdul Hadi semalam yang mendakwa parti-parti Melayu dalam Kerajaan Perpaduan tidak berwibawa dan tidak mampu menangani rakan komponen bukan Islam.

Dakwa Abdul Hadi lagi, ketidakupayaan itu menyebabkan orang bukan Islam ‘naik kepala’ dan menjadi kewajipan untuk parti Islam itu untuk memainkan peranan penting mempertahankannya.

Dalam pada itu, Mohd. Khairuddin turut berkongsi beberapa inisiatif yang diambil Kerajaan Perpaduan dalam menyuburkan dan menyemarakkan syiar Islam di negara ini.

Antaranya, kata beliau, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sendiri mempengerusikan jawatankuasa Kabinet untuk pensijilan halal Oktober tahun lalu yang mana menerusinya permohonan sijil halal akan diproses dalam tempoh hanya 23 hari bekerja.

Selain itu, tambahnya, semua 57 buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) melibatkan 37,000 pelajar beraliran Sains diarahkan menggunakan sistem integrasi Sains dan Tahfiz yang dikenali sebagai Ulul Albab bagi melahirkan profesional huffaz.

Malah, dakwa beliau, peruntukan untuk Sekolah Agama Rakyat (SAR) turut dikembalikan oleh Perdana Menteri setelah sekian lama dikuburkan oleh penasihat SG4 Perikatan Nasional (PN), Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sedang diagungkan oleh penyokong Pas ketika ini.

“Semua agenda Islam dan umat ini memencilkan Pas di persada perjuangan Islam yang dilaung-laungkan sebagai slogan kosong.

“Ini semua mendesak Presiden Pas terpaksa berucap seperti mana ucapan-ucapan sebelumnya dalam Muktamar Pas yang banyak beretorik berbanding gerak kerja yang signifikan untuk umat Islam di Malaysia dan antarabangsa,” katanya.  – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top