Abdullah mahu kembalikan zaman kegemilangan pasukan Kuala Lumpur

Abdullah mahu kembalikan zaman kegemilangan pasukan Kuala Lumpur



mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid yang juga calon Presiden Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) mahu kembalikan zaman kegemilangan yang pernah dikecapi pasukan Kuala Lumpur City (KL City) FC sebelum ini.

Abdullah berkata, perkara itu antara perkara yang mahu dilakukan beliau bersama barisan kepimpinan yang bakal dilantik kelak dalam usaha memastikan KL City FC menjadi antara kuasa besar dalam saingan Liga Malaysia.

“Benda yang wajib dilakukan adalah kita tak boleh membiarkan kesengsaraan (masalah gaji) itu berterusan. Mana-mana calon yang bertanding saya rasa objektif mereka adalah untuk selesaikan gaji tertunggak kerana masalah ini tidak boleh berkompromi.

“Barisan yang saya ada ketika ini adalah gabungan orang politik dan korporat yang mana mereka ini adalah yang terbabit dalam akar umbi secara total.

“Saya juga akan cari solusi untuk menyelesaikan masalah kewangan dalaman yang menjurus kepada kerjasama dengan syarikat swasta yang berminat untuk jadi sebahagian saham KL City,” katanya ketika ditemui ketika perjumpaan bersama calon pemilihan kongres KLFA.

Pada pemilihan kongres KLFA sabtu ini bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu bagi merebut kerusi Presiden membabitkan Abdullah Sani menentang Naib Presiden KLFA Syed Yazid Syed Omar.

Pertembungan itu disahkan selepas tempoh penyerahan borang pencalonan ditutup dengan kesemua jawatan bakal dipertandingkan apabila tiada seorang pun menang tanpa bertanding.

Syed Yazid yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang FAM meraih pencalonan tertinggi babitkan 15 sokongan daripada 27 ahli gabungan persatuan itu.

Manakala Abdullah Sani yang menjadi pemangku Presiden KLFA sebelum ini, mendapat 12 sokongan sekali gus melepasi 40 peratus (%) syarat pencalonan bagi merebut kerusi Presiden KLFA.

Bagi jawatan Timbalan Presiden pula, Tokoh korporat , Datuk Sri Wong Yeon Chai dan orang lama bola sepak tanahair, Datuk Kamarudin Hassan akan dicabar oleh pengarah dan penerbit terkenal, Datuk Afdlin Shauki yang bergandingan bersama Datuk Azril Mat Drus untuk merebut dua kerusi bagi jawatan Timbalan Presiden itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top