July 13, 2024

Abidin bidas dakwaan Rayer, bekas ADUN tak perjuangkan isu air

Abidin bidas dakwaan Rayer, bekas ADUN tak perjuangkan isu air


NIBONG TEBAL – Calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail membidas dakwaan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berhubung bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Nor Zambri Latiff tidak pernah berbahas masalah bekalan air yang berlaku di kawasannya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Jelas beliau, soalan berhubung masalah bekalan air itu disediakan beliau selaku bekas pegawai khas Allahyarham.

“Saya ini PA (pegawai khas) Abang Zam memang kita ada buat soalan dalam sidang DUN pertama pada November lepas.

“Kalau pihak lawan nak tengok bukti boleh lihat video soalan yang dikemukakan Abang Zam berhubung isu air pada sidang DUN di TikTok saya.

“Arwah memang ada bawa isu tersebut dan ketika itu isu bekalan air di Sungai Bakap sudah berlarutan lima tahun.

“Jadi sekali lagi saya nak tegaskan bahawa, perlunya pembangkang di sini (Sungai Bakap) untuk menjadi pendesak dalam DUN,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Rayer yang mencabar pemimpin PN untuk kemukakan bukti bekas ADUN Sungai Bakap pernah membahaskan masalah air melalui laporan akhbar atau video.

Terdahulu, Abidin menyantuni peniaga di sekitar kawasan C-Mart Bandar Tasek Mutiara di sini.

Mengulas lanjut Abidin berkata, kerajaan negeri sepatutnya pertimbangkan cadangan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor berhubung pembelian air di Loji Rawatan Air (LRA) Lubuk Buntar.

“Bagi saya cadangan itu terbaik kerana sistem penyambungan paip sudah tersedia ketika ini berbanding LRA Kerian yang akan mengambil masa empat tahun untuk siap.

“LRA Kerian itu nak siap 2028, jadi dalam tempoh itu takkan penduduk kena sengsara lagi,” katanya.

Kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu membabitkan calon Dr. Joohari Ariffin daripada Kerajaan Perpaduan dengan calon PN, Abidin Ismail.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan berikutan kematian Nor Zamri pada 24 Mei lepas akibat penyakit keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top