ABPBH 37 rekod 61 juta undi

ABPBH 37 rekod 61 juta undi


Kuala Lumpur: Mencipta rekod baharu, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-37 bertemakan SATU Keunggulan yang dilancarkan pada 25 September lalu, meraih 61,798,766 juta undi sehingga tempoh undian fasa pertama ditutup tepat jam 11.59 malam, Selasa lalu.

Terus mendapat sokongan jitu peminat, penganjur ABPBH 37 berbangga mengumumkan proses undian fasa pertama mendapat sambutan luar biasa, dengan jumlah undian tinggi terkumpul dalam tempoh 21 hari selepas ABPBH 37 dilancarkan.

Terdahulu, proses undian Top 20 dihentikan sebagai elemen kejutan dalam kerancakan peminat mengundi artis pilihan secara percuma melalui laman web rasmi www.abpbh.com.my.

Melangkah ke peringkat seterusnya, penganjur ABPBH 37 mengumumkan proses undian membariskan kelompok Top 10 sebagai calon akhir dalam 16 Kategori Utama dan kategori sampingan, Ekstra! dilancarkan tepat jam 10 malam tadi hingga 11.59 malam 17 November 2025. Proses undian boleh dilakukan melalui pilihan undian secara percuma dengan melayari laman web rasmi www.abpbh.com.my.

Untuk kali pertama dalam sejarah penganjuran ABPBH, calon akhir Top 10 diperkenalkan bagi memberi peluang kepada peminat menggunakan ‘kuasa’ untuk mengundi artis pilihan masing-masing, sekali gus meningkatkan potensi untuk setiap calon muncul juara dalam kategori disaingi.

Pengumuman calon Top 10 dan jumlah undian diterima penganjur dibuat dalam siaran langsung program hiburan sensasi TV3, Melodi oleh Pengarah ABPBH 37 merangkap Pengarang Berita Kanan Hiburan dan Projek Berita Harian, Shamshul Azree Samshir di Balai Berita di sini, malam tadi.

Slot mempromosikan ABPBH 37 turut dijayakan artis Top 10 iaitu Azah Aziz, Amir Masdi, Zarif Ghazzi dan Sophia Albarakbah.

Shamshul Azree berkata, langkah memperkenalkan calon Top 10 menambah kehangatan pencarian pemenang dalam setiap Kategori Utama di mana juara yang memperoleh undian tertinggi dalam satu kategori tunggal, layak diangkat sebagai Bintang Paling Popular ABPBH 37.

“Kita percaya dengan jumlah finalis bertambah dalam setiap kategori, iaitu tidak lagi tertakluk kepada lima calon akhir atau Top 5 seperti yang lazim dilakukan, ABPBH menjadi lebih meriah.

“Dengan kuasa di tangan peminat, jumlah undian bagi setiap calon akhir berpotensi mencipta kejutan dengan undian berubah-ubah hingga minit terakhir pemilihan pemenang dibuka.

“Apatah lagi dalam kelompok calon yang lebih ramai berbanding lima orang sebelum ini, kehangatan dan debaran memilih pemenang lebih dirasakan,” katanya.

Rekod undian fasa pertama ABPBH 37 mengatasi jumlah keseluruhan undian diterima pada ABPBH 36 iaitu 58,032,985 undi bagi tempoh 47 hari. Pada ABPBH 35, undian sebanyak 88,409,252 undi diterima dalam tempoh lebih panjang, iaitu 65 hari.

Bulan lalu, penganjur ABPBH 37 mengumumkan tema acara ini, iaitu SATU Keunggulan menjadi manifestasi sokongan jitu peminat yang selama ini menjadi nadi atau tulang belakang kepada setiap kerja seni hatta pelakunya dalam berkongsi bakat dan kreativiti tanpa batasan.

SATU yang secara naratif diperjelaskan melalui penekanan slogan SATU Keunggulan melambangkan kedudukan ABPBH sebagai acara hiburan pilihan peminat nombor SATU di Malaysia, iaitu kekal di posisi teratas sejak kali pertama dianjurkan pada 1987. SATU Keunggulan turut menghurai penyatuan semua cabang seni dalam sebuah acara berprestij berteraskan populariti dan mutu produk atau bakat yang dipertandingkan.

SATU Keunggulan meraikan bakat kreatif baik di barisan hadapan mahupun belakang tabir yang mencorak evolusi dunia kreatif tempatan hingga ke peringkat antarabangsa. Istilah unggul yang bermaksud terbaik, teristimewa dan melebihi yang lain jelas membawa mesej perlunya setiap pekerja seni mencabar diri menjadi yang terbaik atau nombor SATU dalam setiap bidang kreatif diceburi.

Pemilihan pemenang bagi setiap kategori adalah berdasarkan 70 peratus undian orang awam dan 30 peratus undian juri profesional.

Enam belas kategori utama yang dipertandingkan adalah Artis Baharu Lelaki Popular; Artis Baharu Wanita Popular; Penyanyi Lelaki Popular; Penyanyi Wanita Popular dan Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular.

Turut bersaing Aktor Filem Popular; Aktres Filem Popular; Aktor Pembantu Filem Popular; Aktres Pembantu Filem Popular; Aktor TV Popular; Aktres TV Popular; Aktor Pembantu TV Popular dan Aktres Pembantu TV Popular.

Tidak ketinggalan Penyampai Radio Popular; Pengacara TV Popular dan Artis Komedi Popular.

Manakala lima (5) kategori Ekstra! yang turut dipertandingkan adalah Gandingan Serasi Drama Popular; Gandingan Serasi Filem Popular; Lagu Paling Boom Popular; Artis Kontroversi Popular dan Seller Terpaling Popular.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top