Abu Bakar Atan terima anugerah Legend of AIPS Asia

Abu Bakar Atan terima anugerah Legend of AIPS Asia


Abu Bakar (kanan) menerima anugerah Legend of AIPS Asia daripada Presiden AIPS Asia, Hee Don Jung di Hong Kong pada Selasa.

TOKOH kewartawanan sukan tanah air, Abu Bakar Atan menerima pengiktirafan berprestij di pentas Asia apabila dianugerahkan gelaran Legend of AIPS Asia sempena Kongres Persatuan Penulis-Penulis Sukan Asia (AIPS Asia) Ke-26 di Hong Kong pada Selasa.

Anugerah yang diperkenalkan pada tahun 2023 ini merupakan edisi ketiga dan bertujuan mengiktiraf sumbangan wartawan sukan di seluruh Asia yang telah berbakti puluhan tahun, atau lebih dikenali sebagai ‘otai sukan’.

Abu Bakar menjadi individu kedua dari Malaysia yang menerima anugerah berprestij ini, selepas Ahmad Khawari Isa turut diberi pengiktirafan sama pada tahun lalu.

Setelah lebih tiga dekad menabur bakti dalam arena sukan negara, Abu Bakar menyifatkan anugerah ini bukan hanya untuk dirinya semata-mata, malah merupakan pengiktirafan kepada seluruh komuniti wartawan sukan di Malaysia.

Beliau yang pernah memegang jawatan sebagai Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) menegaskan bahawa anugerah ini membuktikan kredibiliti wartawan Malaysia bukan sahaja diiktiraf dan dihargai dalam negara, malah turut berjaya menarik perhatian di peringkat antarabangsa.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat ALLAH SWT kerana dengan izin-Nya saya terpilih menerima anugerah ini. Sudah tentu anugerah ini bukan hanya untuk saya, tetapi merupakan satu kemenangan buat seluruh warga kewartawanan sukan di Malaysia.

“Tidak lupa, terima kasih kepada SAM yang membolehkan saya menerima anugerah ini,” katanya selepas menerima anugerah tersebut di Nina Hotel, Tsuen Wan West.

Beliau turut berharap agar pengiktirafan ini menjadi pemangkin semangat khususnya kepada generasi muda dan wartawan sedia ada dalam bidang kewartawanan sukan untuk terus meningkatkan kualiti penyampaian berita yang beretika, bermanfaat dan menarik.

“Ini membuktikan kewartawanan sukan di Malaysia turut mendapat perhatian luar dan menjadi tumpuan, di mana Malaysia juga sering menjadi penganjur kejohanan-kejohanan sukan besar. Malah, kita turut memiliki atlet-atlet bertaraf dunia yang bukan calang-calang,” katanya yang memulakan kerjaya kewartawanannya pada 1984.

Abu Bakar turut menekankan bahawa peranan wartawan sukan bukan hanya sekadar melaporkan berita, malah mereka turut membantu membangunkan industri sukan negara melalui lontaran idea dan kritikan membina.



Source link

OR

Scroll to Top