AC Milan malukan juara bertahan di Madrid

AC Milan malukan juara bertahan di Madrid


Madrid: Juara bertahan Liga Juara-Juara, Real Madrid tewas 1-3 di tempat sendiri kepada AC Milan dalam aksi peringkat kumpulan dan penyerang sensasi, Kylian Mbappe gagal menemui sentuhan jaringan sekali lagi.

Kapten Perancis berusia 25 tahun itu hanya menjaringkan satu gol dalam enam perlawanan terakhirnya untuk Madrid dalam semua pertandingan, termasuk tiga kekalahan dialami Los Blancos.

Malick Thiaw menanduk masuk gol pembukaan untuk pasukan Itali itu sebelum Vinicius Junior menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti untuk tuan rumah.

Alvaro Morata, yang pernah bermain untuk Madrid, menjaringkan gol untuk mengembalikan kelebihan kepada Milan sebelum separuh masa pertama dan Tijjani Reijnders menambah gol ketiga untuk memastikan kemenangan Milan.

Madrid gagal bangkit selepas dikejutkan dengan kekalahan 0-4 di tangan Barcelona pada hujung bulan lalu, perlawanan terakhir mereka selepas aksi La Liga menentang Valencia pada Sabtu lalu ditunda akibat banjir besar di timur Sepanyol.

Barisan pemain kedua-dua pasukan memakai kemeja-t dengan tulisan “Kami Semua Valencia” sebelum perlawanan, manakala bendera besar Valencia dikibarkan di satu sudut sebagai tanda penghormatan kepada bencana itu.

Pada aksi yang berlangsung selama 90 minit, Milan bimbingan Paulo Fonseca, yang kini berada di kedudukan ketujuh dalam Serie A, mengatasi Madrid dengan prestasi yang mantap.

“Kami sedang melalui tempoh di mana lawan menghukum kami dan kami perlu terus bekerja keras agar ia tidak berulang,” kata pemain pertahanan Madrid, Lucas Vazquez kepada Movistar.

Los Blancos sudah dibolosi sembilan gol dalam tiga perlawanan terakhir mereka di tempat sendiri.

“Jelas sekali itu adalah angka yang sangat teruk. Saya rasa barisan bertahan dan menyerang adalah usaha kolektif, dan di situlah kami perlu perbaiki.

“Saya rasa kami mampu keluar daripada masalah ini bersama-sama… (kami perlu) terus optimis kerana perjalanan masih panjang dan Madrid akan berjuang hingga ke penghujungnya,” kata kata Vazquez.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top