Acara Olimpik petunjuk Sukan SEA 2027

Acara Olimpik petunjuk Sukan SEA 2027


KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) bakal mengambil pendekatan baharu apabila akan memperkenalkan acara yang dipertandingkan di Sukan Olimpik sebagai asas penganjuran Sukan SEA 2027 di Malaysia.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, Malaysia tidak seharusnya menjadi ‘jaguh kampung’ semata-mata, sebaliknya perlu mencari kaedah yang lebih berkesan bagi menganjurkan temasya sukan di rantau ini.

Beliau berkata, perkara tersebut akan dibincang secara terperinci dalam satu jawatankuasa yang akan dibentuk tidak lama lagi.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria pada Sabtu menegaskan bahawa penganjuran edisi 2027 nanti perlu berteraskan pembangunan sukan jangka panjang, bukan sekadar mengejar gelaran juara keseluruhan.

“Saya menyokong kenyataan itu (Mohamad Norza) yang menekankan supaya kita tidak mempunyai mentaliti jaguh kampung. Kita perlu berpijak di bumi nyata.

“Itu juga menjadi hasrat kita. Kita akan ambil pendekatan berbeza (Sukan SEA 2027). Kerajaan pusat bersama semua negeri yang terlibat akan bincang perkara ini dalam satu jawatankuasa khas,” katanya.

Beliau ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KBS di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Isnin.

Mohamad Norza menjelaskan bahawa kejayaan sebenar bukan ketika temasya itu semata-mata, tetapi cabaran untuk mengekalkan prestasi atlet selepas kejohanan.

Beliau menyifatkan pendekatan ‘jaguh kampung’ seperti itu tidak akan membawa sukan negara ke tahap lebih tinggi, sebaliknya hanya memberi ilusi kejayaan dalam jangka pendek.

Hannah menjelaskan bahawa beliau difahamkan Malaysia, Thailand dan Singapura telah mencapai persefahaman bahawa asas temasya itu nanti adalah berteraskan kepada acara yang dipertandingkan pada Sukan Olimpik.

“Kita akan melihat sukan-sukan yang akan dipertandingkan oleh Thailand pada hujung tahun ini. Namun bagi tahun 2027, fokus utama adalah Sukan Olimpik kerana telah ada persefahaman antara ketiga-tiga negara ini.

“Namun sama ada kita mahu menambah acara atau tidak, semuanya sangat bergantung kepada bajet. Pada Sukan SEA 2027 terdapat empat lokasi penganjuran iaitu Kuala Lumpur, Kuching, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

“Sekali lagi, perkara ini amat bergantung kepada kemampuan kewangan,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top