04 Disember 2025 11:07pm
Masa membaca: 4 minit
Pemain JDT meraikan kejayaan mengikat kedudukan 2-2 ketika bertemu PKR Svay Rieng FC pada aksi ketiga Kumpulan B ACC 2025/2026 di Stadium Nasional Morodok Techo, Phnom Penh malam ini. – Foto: FB JOHOR Southern Tigers
JOHOR Darul Ta’zim (JDT) bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat PKR Svay Rieng FC dari Kemboja 2-2 pada perlawanan ketiga Kumpulan B Kejohanan Kelab Bola Sepak ASEAN (ACC) 2025/2026 di Stadium Nasional Morodok Techo, Phnom Penh malam ini.
Skuad Harimau Selatan terlebih dahulu dikejutkan dengan gol pembukaan pasukan tuan rumah menerusi rembatan kencang pemain tengah Cristian Silveira dari luar kotak penalti pada minit ke-29.
Pendahulu Liga Kemboja itu menggandakan kedudukan lapan minit kemudian selepas Nhean Sosidan menyempurnakan hantaran pendek Kwame Peprah dari sebelah kiri, sekali gus menambah tekanan buat anak buah Xisco Munoz
Namun, semangat juang tinggi pemain JDT akhirnya membuahkan hasil apabila pemain pertahanan import Shane Lowry menanduk masuk hantaran lintang Heberty Fernandes pada minit ke-90+2 untuk merapatkan jurang.
La’Vere Corbin-Ong muncul penyelamat apabila menyamakan kedudukan menerusi tandukan pada minit ke-90+6, sekali gus memastikan JDT membawa pulang satu mata dan mengekalkan rekod tanpa kalah selepas tiga perlawanan.
JDT kini mengungguli saingan peringkat kumpulan dengan mengumpul tujuh mata, diikuti wakil Vietnam Nam Dinh di tempat kedua (enam mata) dan PKR Svay Rieng ketiga dengan meraih empat mata.
JDT memenangi dua perlawanan pertama masing-masing menewaskan wakil Singapura Lion City Sailors 3-1 dan Bangkok United dari Thailand 4-0, kedua-dua perlawanan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Selepas ini, juara Liga Super 11 kali berturut-turut itu dijadualkan bertemu Shan United dari Myanmar di Stadium Sultan Ibrahim pada Januari depan. – Bernama
Ringkasan AI
- JDT mengikat PKR Svay Rieng FC 2-2 dalam Kejohanan Kelab Bola Sepak ASEAN
- Pasukan tuan rumah mendahului dengan dua gol sebelum JDT menjaringkan gol penyamaan
- Gol penyamaan JDT dijaringkan oleh Shane Lowry dan La’Vere Corbin-Ong pada masa tambahan
- JDT kini mengungguli peringkat kumpulan dengan tujuh mata
- JDT akan bertemu Shan United dari Myanmar pada Januari depan






