mahaizura@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menerima Anugerah Community Innitiative dalam Majlis Anugerah Asia Corporate Excellence & Sustainability (ACES) 2024 di Bangkok, Thailand, semalam.
Pengiktirafan julung kali diterima YBR itu itu atas inisiatif dijalankan dalam meningkatkan sosio ekonomi rakyat Malaysia melalui pendidikan serta program kemasyarakatan yang dijalankan sepanjang 2023 bagi membantu mereka yang kurang bernasib.
Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang berkata, anugerah itu sebagai tanda pencapaian tertinggi YBR sepanjang penubuhan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat sepanjang tahun dalam membantu masyarakat Malaysia yang memerlukan bantuan tanpa mengira bangsa, kaum dan agama.
“Pengiktirafan ini bukti kesungguhan YBR serta komitmen dalam pemerkasaan masyarakat yang signifikan dengan matlamat pembangunan kelestarian di Malaysia.
“Kami akan sentiasa komited dan menggandakan usaha dalam memajukan kemajuan pendidikan dan kebajikan masyarakat melalui inisiatif yang memberi impak positif dalam memperkayakan kehidupan rakyat Malaysia melalui pendidikan,” katanya dalam dalam satu kenyataan.
Penyerahan anugerah itu disampaikan Rakan Kongsi Pengurusan Aubrens Sdn Bhd, Dr Jayanthi Desan serta Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Naterial Concept; Business Leader, Adeo Group dan Penasihat Anugerah ACES, Luis Bueno Nieto.
Philip turut hadir menerima anugerah terbabit dengan diiringi Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani.
Philip berkata, penghormatan yang diberikan itu membuktikan dedikasi YBR dalam menyantuni mereka yang kurang bernasib baik serta sebagai penanda aras untuk terus berbakti dan memacu negara ke peringkat seterusnya.
“Di kesempatan ini, YBR mengucapkan terima kasih kepada semua yang terbabit secara langsung atau tidak langsung yang telah menjadi sebahagian daripada kejayaan ini.
“Sepanjang 2023, YBR telah membelanjakan RM28.35 juta sebagai peruntukan bantuan pendidikan dan pemerkasaan masyarakat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd