ACL Elit ujian getir, JDT tetap optimis– Alistair Edwards

ACL Elit ujian getir, JDT tetap optimis– Alistair Edwards


mohdsyazwan@hmetro.com.my

Johor Bahru: Johor Darul Ta’zim (JDT) menganggap undian Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2025/2026 Zon Timur, kali ini sebagai cabaran besar namun tetap melihatnya sebagai peluang untuk terus mengangkat nama bola sepak Malaysia ke persada antarabangsa.

Pengarah Teknikal merangkap Ketua Pegawai Operasi (COO) JDT, Alistair Edwards, menegaskan skuad Harimau Selatan sudah bersedia menempuh saingan yang dianggap paling sukar di Asia.

“ACLE adalah pertandingan yang sangat mencabar, tetapi ia membanggakan kerana JDT dapat bersaing di pentas tertinggi ini. Undian tahun ini sama hebat dengan musim lalu, dan kami sudah buktikan mampu bersaing dengan kelab gergasi,” katanya.

Menurutnya, pengalaman beraksi musim lalu menjadi bekalan penting, terutama apabila menyaksikan sokongan luar biasa penyokong di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

“Kami ada kempen yang baik sebelum ini dengan stadium penuh dan suasana menakjubkan. Tahun ini, kami mahu ulangi detik itu dengan perlawanan lebih besar dan lawan yang lebih mencabar,” katanya.

Selain itu, JDT dijangka berdepan beberapa lawan baharu, selain menyambung perseteruan mesra dengan kelab Thailand, Buriram United.

“Buriram adalah lawan yang sangat baik, pertemuan dengan mereka sentiasa istimewa. Musim lalu kami kecewa tidak mara walaupun rasa layak, jadi kali ini kami mahu lakukan lebih baik.

“Kami juga akan beraksi di China dan Jepun, dan ini peluang terbaik untuk memperkenalkan bola sepak Malaysia di pentas global,” jelasnya.

Ujarnya lagi, kehadiran JDT dalam ACLE bukan hanya sekadar persaingan, sebaliknya memberi peluang kepada penyokong tanah air merasai pengalaman aksi bola sepak elit dunia.

“Setiap kali bermain di SSI, kami cuba hadiahkan penyokong detik yang magis. Saya yakin musim ini, peluang itu sekali lagi akan hadir,” katanya.

Mengikut rekod, JDT akan menerima kunjungan Shanghai Port (juara Liga Super China), Shanghai Shenhua (naib juara Liga Super China), Vissel Kobe (juara Liga Jepun) dan Machida Zelvia (tempat ketiga Liga J).

Pada masa sama, skuad Harimau Selatan juga mengharungi empat perlawanan di tempat lawan menentang Buriram United (juara Liga Thailand), Melbourne City (naib juara Liga Australia), Sanfrecce Hiroshima (naib juara Liga Jepun) dan Chengdu Rongcheng dari China yang mara melalui pusingan play-off.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top