ACL2: Selangor FC tewas 1-2 kepada Muangthong United

ACL2: Selangor FC tewas 1-2 kepada Muangthong United


PETALING JAYA: Selangor FC gagal mempamerkan kebangkitan dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) selepas tewas 2-1 di tangan Muangthong United, sebentar tadi.

Keputusan itu juga menyaksikan pengendali baharu Gergasi Merah dari Jepun, Katsuhito Kinoshi memulakan tugasnya dengan langkah kiri.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor hanya memerlukan masa lima minit untuk merobek gawang kelab dari Thailand itu bagi memberi keceriakan kepada penyokong yang hadir.

Gol pertama tuan rumah terhasil menerusi ledakan Quentin Cheng yang memanfaatkan situasi kelam kabut dalam kotak penalti pelawat dengan merembat bola menerjah jaring Muangthong United.

The Red Giants berpeluang menggandakan gol menerusi penyerang importnya, Ronnie Fernandez namun ia gagal disudahkan pemain dari Chile itu dalam bentuk jaringan.

PEMAIN Muangthong United FC, Felicio Anando Forbes (dua kiri) mengasak penyerang Selangor FC, Ronnie Allan Fernandez (kanan) pada perlawanan Liga Juara-Juara 2 (ACL2) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).-UTUSAN/FARIZ RUSADIO

Keputusan 1-0 kekal hingga berakhir babak pertama walaupun kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

Bersambung babak kedua, pasukan pelawat menyamakan kedudukan pada minit ke-53 menerusi jaringan Felicio Brown Forbes yang memanfaatkan situasi kelam kabut dalam kotak penalti Selangor.

Tersentak dengan jaringan itu, Selangor cuba bangkit namun gagal memanfaatkan peluang yang dicipta bagi menambah gol.

Berpunca daripada sepakan penjuru, Poramet Arjvirai terlebih dahulu menanduk namun tertampan pertahanan tuan rumah sebelum bola kembali ke kakinya, peluang kedua itu tidak dipersia-siakan apabila pemain berusia 26 tahun itu melepaskan rembatan kencang untuk gol kemenangan pada minit ke-76.

Kekalahan itu menyaksikan Selangor jatuh ke tangga ketiga Kumpulan H dengan mengumpul tujuh mata manakala Muangthong United di kedudukan kedua apabila mengumpul lapan mata.

Sementara dalam satu lagi aksi, Jeonbuk Hyundai Motors melakar kemenangan 4-0 ke atas Cebu FC sekali gus mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya dan kekal menerajui Kumpulan H dengan 12 mata.

Aksi terakhir Selangor dalam saingan ACL2 Kumpulan H adalah menentang Cebu di laman lawan pada 5 Disember depan.-UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top