JDT berjaya mengekang kuasa Buriram United di laman sendiri apabila terikat tanpa jaringan. Foto FB Johor Southern Tigers
PENTAS Chang Arena bergegar dengan aksi sengit Derbi Asia Tenggara apabila Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Buriram United berentap dalam perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) pada Selasa.
Kedua-dua pasukan pulang dengan keputusan seri tanpa jaringan, mengulangi episod sama ketika pertemuan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Disember lalu.
Pertarungan dua gergasi bola sepak Malaysia dan Thailand ini membuktikan tahap tinggi persaingan biarpun pasukan pelawat agak bergelut mendapat rentak berikutan keadaan padang.
JDT, yang dikendalikan Hector Bidoglio, menampilkan gandingan mantap Arif Aiman Hanapi dan Bergson da Silva di barisan serangan.
Namun, Buriram di bawah kendalian Osmar Loss Vieira, tidak kurang hebat menerusi Martin Boakye dan Guilherme Bissoli apabila menampilkan beberapa percubaan.
Kehadiran Samu Castillejo dan Jorge Obregon separuh masa kedua dalam misi memburu gol pendahuluan juga gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan.
Buriram berpeluang memimpin permainan, namun sentuhan Suphanat Muenta dinafikan kecemerlangan Andoni Zubiaurre.
Keputusan seri ini menjadikan pertembungan di Iskandar Puteri minggu depan lebih mendebarkan apabila kedua-dua pasukan akan berentap sekali lagi untuk merebut tiket ke suku akhir ACLE.