ACLE: Munoz bangga, puji semangat juang JDT

ACLE: Munoz bangga, puji semangat juang JDT


Xisco Munoz bercakap ketika sidang akhbar selepas perlawanan ACLE 2025-2026 menentang Vissel Kobe, di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi – Foto: Bernama

KETUA jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz bangga selepas menyaksikan anak buahnya mencatat kemenangan penting 1-0 ke atas Vissel Kobe dalam perlawanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2025/2026 malam tadi, sekali gus melangkah ke pusingan 16 terbaik.

Sambil menyifatkannya sebagai malam yang menakjubkan, Munoz berkata kemenangan itu menandakan satu lagi kemajuan buat Harimau Selatan serta mencerminkan perkembangan konsisten dan mentaliti skuad berkenaan.

“Ia keputusan penting buat kami dan saya amat gembira dengan penyokong malam ini. Stadium ini cukup luar biasa serta menakjubkan dan mereka (penyokong) membantu kami pada setiap saat. Saya bangga dengan pemain kerana mereka memberikan segala-galanya,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Munoz turut gembira dengan gawang pasukannya yang tidak dibolosi malam tadi.

Beliau turut memuji pemainnya kerana menunjukkan semangat juang tinggi walaupun dua gol mereka dibatalkan kerana ofsaid, jaringan Nene minit ke-39 dan rembatan Marcos Guilherme minit ke-55 serta menyanjung Guilherme atas ketajamannya menjaringkan gol kemenangan.

Munoz berkata, menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan keenam memberikan JDT kelebihan tambahan menjelang pusingan kalah mati, terutamanya dengan keyakinan yang diperoleh daripada prestasi mantap di gelanggang sendiri dan lawan.

“Siapa pun lawan kami, tidak menjadi masalah. Pasukan-pasukan yang berjaya mara ke pusingan seterusnya adalah kerana mereka kuat. Kami mesti bersedia untuk apa sahaja,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Vissel Kobe, Michael Skibbe mengakui JDT layak meraih kemenangan dan mara ke pusingan kalah mati.

“Saya tentu tidak gembira dengan keputusan ini, tetapi saya berpuas hati dengan apa yang telah kami lakukan di atas padang,” katanya dan menambah kekalahan itu berpunca daripada keputusannya merehatkan pemain utama pasukannya. – Bernama

Ringkasan AI

  • Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim bangga dengan kemenangan 1-0 atas Vissel Kobe di Liga Juara-Juara Asia Elit
  • Kemenangan tersebut menandakan kemajuan Harimau Selatan dan mentaliti konsisten skuad
  • Penyokong memberikan sokongan luar biasa dan pemain memberikan segala-galanya
  • Dua gol JDT dibatalkan kerana ofsaid namun Marcos Guilherme berjaya menjaringkan gol kemenangan
  • Munoz menyatakan kelebihan tambahan untuk JDT menjelang pusingan kalah mati setelah menamatkan peringkat kumpulan di kedudukan keenam



Source link

OR

Scroll to Top