Ada banyak isu pendidikan komuniti India tapi tiada yang peduli

Ada banyak isu pendidikan komuniti India tapi tiada yang peduli


KUALA LUMPUR – Putera dan Puteri MIC berikrar untuk  bangkit bersuara dan memainkan peranan dalam isu-isu penting terutama melibatkan golongan muda di negara ini.

Menurut Ketua Putera, Dr Shatesh Kumar, sayap itu komited memperkasakan pendidikan, selain fokus dengan Undi 18 dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) dalam tempoh kurang dari tiga tahun dari sekarang.

Kata Dr Shatesh, pihaknya bimbang dengan ‘kebisuan’ menteri dan timbalan menteri kalangan India dalam Kabinet dalam isu  pendidikan.

Jelasnya, ada banyak isu namun ramai yang mengambil langkah untuk tidak ‘peduli’ walaupun ketika ini sudah mempunyai kuasa dan bergelar kerajaan hari ini.

“Banyak sangat isu terutamanya dalam bab pendidikan, saya beri contoh antaranya prasekolah sebanyak 45 peratus kanak-kanak tidak ke tadika, 13 peratus pelajar India tercicir peringkat sekolah rendah manakala lapan peratus pula cicir pada peringkat menengah.

“Bagaimana pula dengan kuota matrikulasi yang sudah kurang 1,500 tempat dan terus jadi kebimbangan ibu bapa?

“Walaupun sudah begitu banyak kenyataan dikeluarkan khasnya oleh MIC terutamanya Putera MIC namun tidak mendapat perhatian.

“Kita sedih sangat dengan data Merdeka Centre yang mendakwa 58 peratus komuniti India, Cina merasakan komuniti ini tidak mendapat layanan sepatutnya,” katanya pada Konvensyen Kebangsaan hari ini.

Kata Dr Shatesh lagi, pihaknya telah memberikan lima seruan kepada kerajaan termasuklah memohon peruntukan khas bagi SJKT dengan tidak menggabungkan peruntukan dalam Bajet 2024.

“Kita juga mohon kuota matrikulasi dinaikkan kembali kepada 2,200, selain biasiswa pendidikan melalui MITRA kepada yang cemerlang. Kita juga mahu cadangkan supaya adanya lantikan wakil dalam kalangan India dalam Suruhanjaya Ekonomi GIG yang dapat bawa suara belia India,” tegasnya.

Ketua Puteri MIC, S Teeba pada Konvensyen Perwakilan Wanita, Pemuda, Putera dan Puteri MIC Kebangsaan 2024 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 08 SEPTEMBER 2024.

Dalam pada itu, Ketua Puteri MIC Kebangsaan, S Teeba pula mahu sayapnya tampil membela isu-isu berkaitan buli terutamanya buli siber melalui pelbagai perancangan program kesedaran sayap itu.

Katanya, isu berkaitan mangsa buli siber yang akhirnya membunuh diri seringkali menggemparkan negara sebelum ia ‘mati separuh jalan’.

“Isu buli siber ini perlu ditangani terutamanya dalam kalangan masyarakat kita hari ini lagi-lagi ianya melibatkan golongan muda. Kita tidak boleh berdiam diri dan membiarkan mangsa berterusan bertindak membunuh diri atau lebih teruk, mati kerana dera buli.

“Sayap Puteri sangat komited dalam tangani perkara ini dan kita sedang merancang pelbagai program-program kesedaran yang akan dilaksanakan seluruh negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top