Penyanyi Fahimi Rahmat yang baru sahaja mendirikan rumah tangga pada 20 Disember tahun lalu mengakui masih belum bersedia untuk berkongsi wajah isterinya kepada umum.
Menurut Fahimi, dia turut memilih untuk tidak mendedahkan secara terperinci latar belakang pasangan demi menjaga privasi kerana isterinya bukan daripada industri seni.

Penyanyi lagu Angau itu menjelaskan keputusan menutup wajah isterinya dibuat atas beberapa faktor, termasuk bimbang terhadap perkara berkaitan penyakit ain serta menjaga ruang peribadi pasangan.
“Ada beberapa sebab saya pilih untuk tidak tunjuk wajah isteri. Antaranya, saya risau hal-hal seperti ain. Lagi satu, saya mahu lindungi privasi sebab dia bukan orang seni. Dia orang biasa, cuma istimewa di mata saya. Itu pun memang atas permintaan dia,” katanya.

Mengulas mengenai berita perkahwinannya yang mengejutkan peminat, penyanyi lagu Kopi itu berkata perkongsian dibuat sekadar untuk mengelakkan salah faham atau fitnah.
Katanya, perkahwinan adalah impian kebanyakan orang dan satu amalan sunnah.
“Saya bukan nak hebahkan lebih-lebih. Saya cuma kongsi perkara yang perlu supaya tak timbul cerita bukan-bukan. Itu saja,” katanya.
Fahimi berkongsi perkara itu ketika ditemui pada Majlis Extra Joss Gathering for Media & Content Creators di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Fahimi antara selebriti dan pempengaruh yang terlibat dalam kolaborasi mempromosikan varian perisa baharu minuman tenaga Extra Joss di media sosial.
Jenama itu mengumumkan pelancaran semula Extra Joss Oren di Malaysia bagi mengukuhkan pertumbuhan volum serta meluaskan kehadiran dalam pasaran minuman tenaga mampu milik.

Pengurus Negara Kalbe Malaysia Sdn Bhd, Oktavianus berkata pelancaran semula tersebut sebahagian strategi jangka panjang syarikat untuk memperkukuh portfolio produk di Malaysia. Walaupun perisa Anggur kekal paling digemari, pengenalan semula perisa Oren disasarkan kepada pengguna yang mahukan rasa lebih ringan, menyegarkan dan mudah dinikmati pada bila-bila masa.
Extra Joss turut mempunyai pilihan perisa lain seperti Active, Anggur dan Mangga mengikut cita rasa pengguna.






