Golongan yang menisbahkan dirinya kepada tasawuf adalah seperti golongan manusia yang lain. Ada pada mereka golongan yang baik, ada juga sebahagian daripada mereka golongan yang jahat.
Namun, menghukumi semua ahli tasawuf itu sebagai golongan yang tidak berada di landasan yang benar ialah sebuah tohmahan dan prasangka buruk terhadap golongan ini disebabkan sebahagian daripada golongan yang menisbahkan diri mereka kepada tasawuf yang bermasalah.
Hal ini kerana golongan yang menisbahkan diri mereka kepada tasawuf boleh diklasifikasikan kepada tiga golongan seperti disebutkan oleh Sheikh Aḥmad Mayyarah al-Fasi (w.1092H):
Pertama: al-murid (orang yang benar-benar berkehendak kepada Allah SWT).
Kedua: al-murad (orang yang dikehendaki oleh Allah SWT).
Ketiga: selain daripada kedua-duanya (al-murid dan al-murad) ialah orang yang hanya mendakwa akan tasawuf.
Perkara ini juga sudah dijelaskan oleh Sheikh Abu al-Qasim Ibnu Khajjou (w.956H) bahawasanya jenis golongan al-Fuqara’ (ahli tasawuf) itu seperti golongan manusia. Ada dalam kalangan mereka yang hanya seperti kulit dan ada juga yang seperti isi. Ada yang baik ada, ada juga sebahagian daripada yang buruk.
Imam Aḥmad Zarrūq al-Fasi (w.899H) adalah salah seorang tokoh tasawuf menyebutkan antara faktor yang membawa kepada lahirnya golongan tasawuf yang menyimpang dan jahil kembali kepada tiga perkara:
Pertama: Ketiadaan cahaya iman yang membimbing kepada jalan yang benar.
Hal ini kerana ketiadaan iman membawa kepada perkara yang baharu (bidaah) dalam agama seterusnya kepada kesesatan. Perkara ini bersesuaian dengan firman Allah SWT dalam surah al-An’am, ayat 153: “Dan bahawa sesungguhnya ini adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutlah ia; dan janganlah kamu ikut jalan-jalan (yang lain) kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya.”
Disebabkan kepada kehilangan iman, maka diri akan dikuasai oleh hawa nafsu. Ibn ʻAtaʼiallah al-Sakandari (w.709H) berkata dalam Hikamnya: “Bukanlah yang dibimbangkan itu kamu akan keliru dalam memilih jalan (kebenaran), tetapi yang dibimbangkan ke atasmu adalah apabila hawa nafsu menguasai dirimu.”
Kedua: Kejahilan terhadap asas ilmu tasawuf dan kepercayaan bahawa syariat itu berbeza dengan hakikat.
Perkara ini adalah sebab utama lahir golongan ahli tasawuf yang menyimpang. Ia adalah antara asas utama kepada fahaman zindik (kufur yang berselindung rapat sebalik agama) dan daripadanya lahir semua kelompok (yang sesat).
Disebabkan itu disebutkan dalam sebuah kata-kata: “Jadilah seorang ahli feqah yang bertasawuf dan jangan jadi seorang sufi yang baru belajar feqah”. Hal ini kerana sufi dalam kalangan ulama feqah adalah lebih sempurna dan lebih berilmu daripada seorang ahli feqah dalam kalangan ahli sufi disebabkan seorang sufi dari kalangan ahli feqah sudah benar-benar merealisasikan tasawuf dalam ahwalnya, amalannya dan zauqnya (pengalaman batin).
Berbeza dengan seorang ahli feqah dari kalangan sufi, dia belum benar-benar menguasai ilmu dan ahwal walaupun sempurna dalam perkara zawqiyyah.
Ketiga: Keinginan untuk menjadi pemimpin dan dikenali walaupun tidak layak.
Hal ini mendorang golongan yang disebutan mencipta perkara yang boleh menarik hati manusia mengalami beberapa keadaan yang menipu diri mereka, antaranya:
l Didatangi tipu daya jin dan syaitan sehingga mereka menyangka itu adalah futuhat ilahiyyah.l Menolak ilmu agama dan disiplinnya secara mutlak samada ilmu usul ataupun furu’ disebakan tipu daya diri mereka dan syaitan.l Meremehkan perkara yang menjadi kebiasaaan dalam agama seperti perkara yang wajib dan sebagainya.l Kepercayaan bahawa untuk sampai ke hadrat Allah SWT perlu menelusuri jalan yang pelik.
Kepercayaan perkara biasa dalam ibadat tidak akan menyampaikan kepada maksud dan perlu ada padanya penambahan yang menyebabkan tercetusnya bidaah dalam agama.
Apa yang dirasai oleh golongan yang tertipu ini hanya wahm (sangkaan yang tidak benar) dan bukan berlandaskan perkara yang berasas dan kefahaman yang benar.
Antara solusi dalam menghadapi golongan ahli tasawuf yang menyimpang dan jahil boleh diringkaskan kepada tiga pendekatan:
Pertama: Membetulkan iman dengan cara yang membawa kepada penegakan kehormatan syariat dalam perkara yang diperintahkan dan dilarang.
Hal ini kerana menegakkan kehormatan syariat dengan menunaikan apa yang dituntut dalam agama adalah jalan kepada hidayah seperti dalam firman Allah SWT: “Apa yang datang daripada rasul kamu, maka ambillah; dan apa yang dilarangnya kamu daripadanya, maka tinggalkanlah.” (al-Hashr, 7)
Kedua: Mencari hukum-hakam Allah SWT dalam perkara tasawuf daripada sandarannya yang benar.
Maka sesorang itu perlu beramal dengan sesuatu berdasarkan ilmu atau dengan mencontohi orang yang sah untuk diikuti sama ada: seorang alim yang warak ataupun seorang faqih yang menjadi rujukan dalam perkara ini yang dia tidak dipengaruhi oleh hawa nafsu ataupun seseorang yang sudah sampai darjat shiekh dalam tarbiyyah sufiyyah.
Ketiga: Mengetahui asas jalan tasawuf yang sedang dilaluinya atau yang ingin dilaluinya.
Ini adalah seperti yang disebutkan: (Sesungguhnya mereka diharamkan daripada sampai kepada jalan Allah SWT disebabkan mensia-siakan asas-asas ilmu tasawuf). Sesungguhnya asas-asas jalan para sufi itu dibina atas al-Quran dan al-Sunnah. Perkara ini adalah seperti disebutkan oleh Imam Abu al-Qasim al-Junayd (w.297H): (Ilmu kami ini terikat dengan al-Kitab dan al-Sunnah. Maka sesiapa yang tidak mendengar hadis, tidak duduk bersama para fuqaha dan tidak mengambil adabnya daripada orang-orang yang beradab, maka dia akan merosakkan pengikutnya dan mengikutinya adalah haram).
Penulis Felo Penyelidik, Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
© New Straits Times Press (M) Bhd