Ada peniaga tak konsisten berniaga, manfaatkan inisiatif MyKiosk – Asrul Aimran

Ada peniaga tak konsisten berniaga, manfaatkan inisiatif MyKiosk – Asrul Aimran


KANGAR: Peniaga yang menyewa kemudahan MyKiosk di negeri ini perlu memanfaatkan inisiatif tersebut dengan sebaik mungkin bagi membantu menambah pendapatan dan merancakkan ekonomi setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, para peniaga seharusnya memainkan peranan bersungguh-sungguh memandangkan ada di antara mereka didapati beroperasi secara tidak konsisten.

Katanya, berdasarkan data semasa, di Perlis secara keseluruhan, sebanyak 90 kemudahan MyKiosk disediakan dan daripada jumlah tersebut, hanya tujuh daripadanya masih belum disewa oleh mana-mana peniaga.

“Banyak kiosk yang telah terisi ini namun keadaan masih nampak kosong apabila ada yang tak beroperasi lagi sebab peniaga ini ada on-off (buka dan tutup). Jadi kita harapkan mana-mana peniaga yang telah dapatkan kiosk ini agar menggunakan peluang dalam tempoh enam bulan pertama yang kadar sewanya diberikan secara percuma itu untuk melipatkan gandakan usaha,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Exco di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming menafikan dakwaan kononnya inisiatif MyKiosk adalah merupakan projek ‘gajah putih’.

Ia dibangkitkan oleh Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang mengatakan projek berkenaan sebagai ‘gajah putih’ selain dianggap membazir dan tidak praktikal.

Asrul berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga sentiasa mengusulkan kepada KPKT berhubung pandangan dan rungutan dibawa oleh penyewa-penyewa kiosk berkenaan.

“Mungkin dari masa ke semasa akan ada pembaharuan di peringkat kementerian berhubung perkara dibangkitkan. Kemudahan MyKiosk itu adalah merupakan usaha dilakukan bagi mengurangkan lambakan gerai-gerai yang beroperasi di tepi jalan,” katanya

Katanya, sewaan kiosk itu juga adalah sebanyak RM300 sebulan dan syarat permohonan juga terbuka kepada mana-mana usahawan berminat serta golongan B40.

“Peniaga yang diberi peluang juga tidak dibenar untuk menyewakan kiosk ini kepada pihak lain kerana itu bukan cetusan awal pelaksanaan inisiatif ini yang mana objektifnya bagi membantu peniaga dan anak muda,” katanya.-UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top