‘Ada peningkatan positif’ – Nafuzi

‘Ada peningkatan positif’ – Nafuzi


Skuad negara mengharungi tiga perlawanan persahabatan sebelum menghadapi saingan Kelayakan Piala Asia B-23 AFC 2025. Foto MALAYSIA NT

PENGENDALI skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Nafuzi Zain mengakui terdapat peningkatan dalam prestasi pemain muda negara namun menegaskan masih ada aspek yang perlu diperbaiki sebelum menghadapi saingan Kelayakan Piala Asia B-23 AFC 2026 pada Rabu ini.

Menurut Nafuzi, tiga aksi persahabatan yang dilalui setakat ini jelas menunjukkan beberapa perkembangan positif terutama dari segi kefahaman taktikal dan keserasian pemain, namun masih belum cukup untuk berasa selesa.

“Kalau saya menilai tiga perlawanan ini, kebanyakannya melibatkan pemain baharu ada peningkatan dari segi cara kita bermain, terutamanya dalam aspek bertahan dan menyerang.

“Namun, masih banyak perkara yang perlu diperbaiki. Kita berdepan pasukan-pasukan yang jauh lebih kuat berbanding lawan dalam Piala ASEAN sebelum ini,” katanya.

Dalam tiga perlawanan persahabatan tersebut, skuad Harimau Muda tewas dua kali kepada pasukan kebangsaan Kuwait masing-masing dengan keputusan 0-1, sebelum mencatat kemenangan besar 11-0 ke atas kelab Thailand, Natahaburi FC.

Malaysia akan memulakan kempen kelayakan menentang Lubnan pada Rabu, diikuti Mongolia (Sabtu) dan menutup saingan kumpulan menentang tuan rumah Thailand pada 9 September.

Hanya sebelas juara kumpulan dan empat naib juara terbaik layak ke pusingan akhir di Arab Saudi, Januari depan.

Sebagai rekod, Malaysia layak ke Piala Asia B-23 pada edisi 2022 di Uzbekistan dan 2024 di Qatar dengan pencapaian terbaik mara ke suku akhir pada edisi 2018 di China.

Sementara itu, Nafuzi turut lega selepas kembali mendapatkan khidmat Ubaidullah Shamsul Fazili, Aliff Izwan Yuslan dan Fergus Tierney yang dilihat mampu memperkukuhkan lagi pasukan.

Biarpun ketiga-tiga pemain itu tiba lewat bersama pasukan kebangsaan, Nafuzi tidak risau kerana kesemua pemain sudah sebati dengan corak permainannya.

“Saya sudah bersama mereka ketika Piala ASEAN sebelum ini, jadi tiada banyak kebimbangan dari segi keserasian.

“Cuma pendekatan taktikal kali ini mungkin sedikit berbeza dan pemain perlu cepat menyesuaikan diri, terutamanya di bahagian serangan,” ujarnya.



Source link

OR

Scroll to Top