Ada sebab nama Mendez, Machuca tercicir

Ada sebab nama Mendez, Machuca tercicir


Mendez (kiri) dan Machuca (tengah) tidak tersenarai, manakala Richard Chin dipanggil menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya buat kali pertama.

PENGENDALI Harimau Malaya, Peter Cklamovski menjelaskan ketiadaan dua pemain warisan iaitu Nacho Mendez dan Imanol Machuca dalam senarai panggilan kem latihan pusat kali ini adalah disebabkan faktor kecergasan dan komitmen kelab masing-masing.

Menurut Cklamovski, pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) Mendez ketika ini berdepan isu berkaitan tahap kecergasan dan memerlukan masa untuk pemulihan penuh sebelum menyertai skuad kebangsaan.

“Nacho Mendez berdepan situasi fizikal dan perubatan ketika ini. Beliau antara pemain yang paling banyak beraksi dalam liga dan persembahannya sangat baik.

“Saya tahu dia teruja untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan dan berbangga dengan asal usulnya di Malaysia. Saya juga telah bercakap dengannya beberapa kali, dan dia sangat bersemangat untuk berada di sini.

“Tetapi buat masa ini, kem latihan ini bukan masa yang sesuai untuk dia bersama skuad. Namun, saya menjangkakan beliau akan kembali tersedia untuk jendela antarabangsa Oktober nanti,” katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.

Dalam pada itu, ketiadaan pemain sayap kelab Argentina, Velez Sarsfield, Imanol Machuca pula kerana dia akan terlibat dalam perlawanan akhir Supercopa Argentina menentang Central Cordoba pada 6 September ini.

“Machuca ada final minggu depan. Ia satu perlawanan penting buat dirinya dan juga kelab.

“Saya buat keputusan untuk benarkan dia kekal bersama kelab dan beraksi di pentas akhir itu. Harapnya dia dapat menjulang trofi, sekaligus memberi nilai tambah dalam kariernya serta menjadi pemain yang lebih baik untuk kita di masa akan datang.

“Selepas itu, dia akan terus membina momentum di peringkat kelab dan datang dalam prestasi terbaik untuk aksi Oktober nanti yang amat penting buat kita,” ujarnya.

Skuad negara akan beraksi dalam dua aksi persahabatan pada kalendar antarabangsa kali ini menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 September dan Palestin empat hari kemudian di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.



Source link

OR

Scroll to Top