Ada sesuatu yang baik untuk Sabah pada 10 Oktober – PM

Ada sesuatu yang baik untuk Sabah pada 10 Oktober – PM


am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Kerajaan akan mengumumkan sesuatu yang baik buat Sabah dalam pembentangan Belanjawan 2026, 10 Oktober ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan pimpinannya mempunyai kuasa melaksana perkara yang baik untuk rakyat yang tidak pernah dilaksana kerajaan sebelum ini.

“Belanjawan negara, Insya-Allah saya akan umum untuk Malaysia. Untuk Sabah akan ada pengumuman yang baik pada 10 Oktober ini.

“Kita ada kuasa, orang tanya apa beza ada kuasa dengan yang tiada kuasa. Masa ada kuasa dulu, sibuk cari harta, tengok balak, tengok tanah, projek bagi anak… bagi isteri kaya.

“Bila tiada kuasa, marah sana sini. Tengok mana yang sudah pencen, minta Anwar turun, tapi sekarang bukan Anwar yang turun, harga minyak yang turun. Maknanya, bila kita ada kuasa masa itulah kita cuba lakukan sebaik mungkin, jadi isunya apabila ada kuasa, itulah masa kita raikan sebaik mungkin untuk negara.

“Orang tanya apa impian saya? Saya kata saya nak rakyat berasa ada peluang, sama ada dari bandar atau luar bandar, semuanya merasa mereka ini ada harapan dalam negara Malaysia ini,” katanya pada Himpunan Tamu Rapat Umum sempena 27 Tahun Reformasi PKR di Dewan Pisompuruan Kampung Kobuni, di sini, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, walaupun beliau bukan orang Sabah, tapi negeri ini menerima peruntukan yang tertinggi dalam sejarah Malaysia.

Sementara itu, beliau berkata, permintaan Sabah dan Sarawak untuk penambahan kerusi Parlimen yang diminta sejak lebih 60 tahun lalu sudah diluluskan.

Beliau juga berkata, apa yang paling penting ketika ini adalah usaha untuk membantu rakyat menangani kos sara hidup menerusi pelbagai inisiatif kerajaan.

Katanya, kerajaan membelanjakan jumlah yang besar bagi membantu rakyat menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), selain tambahan gaji untuk penjawat awam.

“Sebahagian besar terima STR dan SARA setiap bulan masuk, berapa setahun STR untuk semua rakyat? RM15 bilion. Berapa ramai penjawat awam, guru dan sebagainya kita naik gaji, tahun ini tambah RM10 bilion, tahun depan RM18 bilion,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top