Kejadian ini bukan sekadar satu angka statistik kemalangan, bahkan ia satu kehilangan besar kepada institusi pendidikan negara di mana bakal pendidik kembali ke pangkuan Ilahi sebelum sempat menabur bakti kepada anak bangsa.
Pemergian mereka telah merentap ribuan jiwa insan sama ada yang mengenali atau tidak mengenali mereka.
Rakaman video yang dikongsi melalui Tik Tok, Facebook, Twitter ataupun hebahan secara langsung melalui media sosial menyaksikan lautan manusia hadir memberikan penghormatan terakhir dalam kesayuan dan linangan air mata mengiringi para jenazah.
Bagi kaum wanita yang hadir, ziarah ini bukan sekadar menzahirkan simpati dan empati, tetapi juga sebagai bentuk penghormatan yang penuh tatatertib yang dianjurkan oleh Islam.
Hukum menziarahi jenazah
Secara umumnya, wanita diharuskan untuk menziarahi jenazah. Bagaimanapun, ia mestilah disertai dengan beberapa syarat tertentu. Ummu ‘Atiyyah RA meriwayatkan:
“Kami dilarang mengikuti jenazah, tetapi larangan itu tidak bersifat keras.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).
Berdasarkan hadis ini, para ulama menyatakan bahawa larangan tersebut menunjukkan kepada hukum makruh tanzih, bukan diharamkan.
Oleh itu, wanita dibenarkan untuk menghadiri ziarah kematian dan pengebumian dengan syarat tidak berlaku pelanggaran syariat Islam iaitu:
1. Menutup aurat dan berpakaian sopan
Penjagaan aurat merupakan perkara yang sangat penting dan diwajibkan ke atas setiap wanita Islam.
Aurat wajib ditutup dan dijaga ketika berada di tempat awam, termasuk sewaktu menziarahi jenazah sebagaimana firman ALLAH SWT dalam ayat ke-59 surah al-Ahzab.
Dalam situasi ini, wanita yang menziarahi jenazah hendaklah berpakaian yang menutup aurat dengan sempurna kerana ia turut dihadiri oleh para lelaki ajnabi.
Pakaian juga mestilah longgar, tidak ketat, tidak jarang dan tidak nipis.
ELAKKAN daripada berlumba-lumba untuk mengambil gambar, berswafoto atau merakam video jenazah. Foto Canva
Di samping itu, warna pakaian yang dipakai tidak perlu terlalu terang atau menarik perhatian orang ramai.
Wanita juga dianjurkan supaya tidak berlebih-lebihan dalam berhias dan bersolek, cukuplah dengan merapikan diri agar kelihatan bersih dan kemas.
Berpakaianlah dalam keadaan menutup aurat dan bersederhana demi menghormati suasana duka dan dalam masa yang sama dapat menjaga kehormatan diri agar suasana tersebut berlangsung dalam keadaan yang tenang dan penuh dengan keinsafan.
Dalam masa yang sama, wanita juga perlu menjaga pandangan daripada melihat aurat jenazah perempuan atau lelaki yang diziarahi sama ada semasa dibaringkan, dimandikan atau dikafankan.
2. Memelihara batasan pergaulan dan mengelakkan fitnah
Larangan ikhtilat iaitu percampuran bebas antara lelaki dan wanita yang bukan mahram merupakan salah satu prinsip penting dalam Islam bagi menjaga akhlak, maruah dan kehormatan individu.
Batasan pergaulan antara lelaki dan wanita semasa menziarahi jenazah wajib dijaga, iaitu wanita perlu berada di tempat yang berasingan yang sesuai mengikut situasi dan keadaan.
Ini adalah bagi mengelakkan suasana yang tidak terkawal semasa majlis yang dihadiri oleh ramai orang (termasuk ziarah jenazah).
Ia juga adalah bagi mengekang kebarangkalian berlakunya percampuran antara lelaki dan perempuan secara bebas yang berpotensi membawa kepada fitnah.
3. Mengawal emosi dan tiada ratapan
Sebelum kedatangan Islam, wanita Arab Jahiliah diupah untuk menangis, meraung, meratap dan menjerit dengan kuat bagi menunjukkan rasa sedih secara terbuka.
Kemudian, Islam telah menghapuskan “budaya kematian” tersebut dan melarang umatnya daripada melakukan perbuatan tersebut.
Ia adalah bercanggah dengan prinsip sabar dan menyalahi adab dalam menghadapi musibah.

PERBANYAKKAN berdoa ketika mengunjungi tanah perkuburan Islam. Foto Canva
Tidak salah untuk menangis dan mengalirkan airmata, dengan syarat jangan melampaui batas dan berlama-lama dalam kesedihan kerana ia akan memberikan impak yang negatif terhadap kesihatan mental dan fizikal kita.
4. Tidak mengganggu proses pengurusan jenazah
Wanita juga perlu mematuhi adab di rumah si mati atau di tanah perkuburan.
Sematkan dalam hati masing-masing, bahawa ziarah jenazah bukanlah satu medan pertemuan sosial yang diisi dengan aktiviti bergosip, menyebarkan keburukan si mati ataupun dijadikan sidang untuk berbual kosong.
Dalam usaha untuk melancarkan proses pengurusan jenazah, perbualan tersebut boleh diteruskan, dengan syarat ia berlangsung dengan tenang, tidak meleret dan suara direndahkan bagi menghormati situasi ketika itu.
Selain itu, elakkan daripada berlumba-lumba untuk mengambil gambar, berswafoto atau merakam video jenazah dalam suasana duka secara berlebih-lebihan untuk dimuat naik ke media sosial dengan niat meraih like yang banyak sehingga mengganggu urusan jenazah dan juga pengebumian.
5. Mendoakan jenazah dan mengingati kematian
Antara sunnah Rasulullah ketika menziarahi jenazah ialah memperbanyakkan doa kepada ALLAH agar mengampuni dosa-dosa si mati.
Doa sepertimana sabda Rasulullah: “Ya ALLAH, ampunilah dan rahmatilah dia, sejahterakanlah dan maafkanlah dia, muliakanlah tempat tinggalnya dan luaskanlah tempat masuknya” (Hadis Riwayat Muslim).
***DR NORHASNIRA IBRAHIM merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)