norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Adam Corrie Lee Abdullah, 58, memilih untuk menghantar anak tunggalnya, Adam Fateh Lee, 7, belajar ke Sekolah Kebangsaan berbanding mengikuti pembelajaran bahasa Mandarin walaupun dia berbangsa Cina.
Menurut Adam Corrie, keputusan itu dibuat kerana menyedari anaknya sendiri tiada minat terhadap mempelajari bahasa Mandarin dan sebaga bapa semestinya dia enggan bersikap memaksa.
Terdahulu, perkara berkenaan dimuatnaik Adam Corrie di beberapa platform media sosialnya seperti Threads, Instagram (IG) dan Facebook untuk berkongsi pandangan mengenai pilihan yang diambil terhadap pendidikan anak tersayang.
“Walaupun saya berbangsa Cina, saya memilih untuk menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan. Bukan kerana saya tidak mahu anak belajar Mandarin, tetapi kerana anak saya sendiri tidak berminat.
“Sebelum ini, saya pernah menghantarnya ke tadika Cina, namun jelas minatnya bukan di situ. Untuk memasuki sekolah Cina pula, biasanya perlu melalui sekurang-kurangnya dua tahun pendidikan tadika Cina, dan saya menerima hakikat itu dengan hati terbuka.
“Lagipun, saya sendiri berketurunan Cina Hokkien. Mandarin bukan bahasa ibunda saya sekadar faham dan boleh bertutur sedikit-sedikit sahaja. Kalau Hokkien, memang bahasa saya.
“Setiap anak ada minat dan laluan pembelajaran masing-masing, dan sebagai ibu bapa, tugas kita adalah menyokong, bukan memaksa,” tulisnya pada hantaran berkenaan.
Meninjau di ruangan komen, keputusan dan tindakan dibuat Adam Corrie terhadap masa depan pendidikan anaknya diterima positif oleh kebanyakan netizen yang menyifatkan tidak perlu memaksa kalau memang tiada minat.
“Pilihan yang baik, ikut kehendak dan kecenderungan anak. Isi rumah saya tidak berbahasa Mandarin walaupun kami Cina,” ujar seorang warganet.
“Kadang kita punya expectation (jangkaan) untuk anak nak macam itu, nak macam ini, tapi kalau anak dah tak minat hormat saja,” kata netizen.
“Biar ikut minat anak. Bukan ikut cita-cita kita,” komen pengguna media sosial.
“Terharu saya dengan tindakan Adam Corrie, bagi belajar ikut minat anak,” tulis seorang wargamaya.
Terdahulu, Adam Corrie memeluk Islam pada Julai 2007, bertemu jodoh dengan wanita pilihan iaitu Fazima Fuad pada 2008 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki.
Adam Corrie yang juga koreografer tarian dan lagak ngeri (stunt) pernah menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah – Saudara Kita peringkat negeri Selangor pada 2017.
© New Straits Times Press (M) Bhd






