Adam Mikail Mohd Zawawi bersyukur dan gembira apabila berjaya menjulang nama Malaysia di pentas Kejohanan Muaythai Remaja Dunia IFMA 2025 yang akan berlangsung di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 18 September lalu.
SHAH ALAM – Petarung muay thai muda negara, Adam Mikail Mohd Zawawi menjulang nama Malaysia di pentas sukan tempur dunia apabila menjulang pingat emas di Kejohanan Muaythai Remaja Dunia IFMA 2025 yang akan berlangsung di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 18 September lalu.
Dia yang bertanding dalam kategori junior lelaki 10-11 tahun 30kg, menunaikan janji untuk membawa kejayaan kepada sukan muay thai remaja negara selepas berjaya menewaskan petarung dari Arab Saudi.
Menurut Adam Mikail, kejayaan penuh bermakna itu menambahkan lagi semangatnya untuk terus mengorak langkah dalam sukan muay thai dan mengejar impiannya untuk menjadi petarung profesional suatu masa nanti.

Adam Mikail berjaya menewaskan petarung dari Arab Saudi untuk merangkul pingat emas.
“Walaupun pada awalnya saya mahu memikirkan warna pingat ketika turun bertanding, namun semangat dan sokongan seluruh pasukan muay thai remaja yang membawa nama Malaysia telah membakar keinginan saya.
“Saya melihat kejayaan membawa pingat emas sebagai satu titik tolak untuk saya terus serius berlatih dan bertanding demi mengejar cita-cita menjadi petarung profesional di masa depan,” katanya kepada Sinar Harian.
Namun jelas Adam Mikail lagi, kejayaan menjadi juara dalam kategori yang ditandinginya itu bukan milik dia seorang sahaja tetapi juga milik seluruh rakyat Malaysia terutamanya para petarung serta peminat sukan muay thai di negara ini.
“Tahniah kepada seluruh petarung muay thai remaja Malaysia yang bertanding dan membawa kemenangan di Kejohanan Muaythai Remaja Dunia IFMA 2025 kali ini.
“Terima kasih juga kepada coach saya, pengurusan pasukan, keluarga dan para peminat yang banyak membantu serta memberikan sokongan kepada saya,” ujarnya.

Adam Mikail berterima kasih kepada jurulatih, pengurusan pasukan muay thai Malaysia dan keluarga yang selama ini banyak membantu dan memberikan sokongan dalam karierny.