June 13, 2024

ADAMAS ‘kejar’ atlet Olimpik Paris 2024


AGENSI Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) sedang berusaha ‘mengejar’ atlet negara yang layak ke Sukan Olimpik 2024 di Paris melengkapkan modul khas temasya sukan terbesar dunia itu seperti terkandung dalam Anti Doping Education and Learning (ADEL).

Selain meminta atlet menjalani kursus doping secara fizikal di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, Pengarah ADAMAS Azura Abidin berkata, pihaknya juga menggerakkan usaha menggalakkan mereka yang berlatih di luar negara melengkapkan modul tersebut secara dalam talian.

Beliau berkata, bukan sahaja atlet, malah jurulatih serta pegawai sokongan sukan terlibat pada Paris 2024 juga digalakkan melengkapkan modul dalam ADEL yang diiktiraf Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).

“Kami telah menggerakkan usaha dengan memohon bantuan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan MSN meminta atlet menjalani modul khas Olimpik ini sejak April lepas.

“Selepas tamat menjalani modul Sukan Olimpik, mereka termasuk atlet terlibat perlu menduduki ujian bagi menguji tahap pemahaman dan perlu lulus dengan 85 markah sebelum diberikan sijil, manakala data diperoleh daripada ujian tersebut akan disatukan di peringkat WADA,” katanya.

Walaupun tiada tempoh spesifik ditetapkan pihaknya untuk melengkapkan modul tersebut, namun Azura menaruh harapan tinggi agar ia dapat disudahkan mereka yang terlibat termasuk atlet seelok-eloknya sebelum berlepas ke Paris.

“Kalau boleh kita mahu mereka siapkan awal (sebelum ke Paris) jadi mereka boleh tumpukan dengan pertandingan di sana,” katanya.

Beliau berkata modul khas Olimpik dalam ADEL penting bagi atlet untuk menambah ilmu mengenai doping termasuk akibat penggunaan bahan terlarang dan membantu mereka bersiap siaga dengan situasi sekiranya dipanggil membuat ujian doping selepas tamat pertandingan.



Source link

OR

Scroll to Top