Adania janji beli alat pendengaran datuknya dengan hadiah kemenangan

Adania janji beli alat pendengaran datuknya dengan hadiah kemenangan


PEMAIN remaja negara, Adania Redzwan membuktikan sikap prihatin apabila berjanji untuk menyumbangkan sebahagian daripada hadiah kemenangan bernilai RM10,000 daripada Kejohanan Boling Remaja Antarabangsa All-Star Milo 2024 bagi membeli alat bantuan pendengaran untuk datuknya.

Atlet berusia 19 tahun itu menamatkan saingan sebagai naib juara kategori Terbuka Wanita selepas tewas tipis 178-221 kepada pemain Singapura Hazel Tan pada perlawanan akhir format stepladder di Sunway Mega Lanes di sini hari ini.

“Datuk saya baru-baru ini disahkan mengalami masalah pendengaran. Jadi, saya berasa gembira dapat membantu membiayai alat bantuan pendengaran untuknya,” kata Adania dalam satu kenyataan.

Walaupun gagal mempertahankan gelaran yang dimenangi rakan sepasukan Adelia Nur Irwan Syazalee tahun lalu, Adania tetap berbangga dengan pencapaiannya kali ini.

Pencapaian ini menutup tahun cemerlang buat Adania yang sebelum ini turut meraih pingat emas berpasukan pertama Malaysia di Kejohanan Remaja Dunia di Incheon, Korea Selatan, Julai lalu bersama rakan sepasukan Adelia Nur Irwan Syazalee, Nur Hazirah Ramli dan Anis Hannani Romzi.

“Ini kali pertama saya layak ke peringkat akhir stepladder sejak menyertai skuad remaja kebangsaan tahun lalu. Saya beraksi dengan cemerlang dalam perlawanan akhir ini, terutamanya jika dibandingkan dengan pusingan kelayakan di mana saya bergelut dengan lontaran spare,” kata Adania.

“Kedudukan naib juara ini adalah pencapaian individu terbaik saya di pentas antarabangsa. Saya bertekad untuk membina momentum ini bagi persediaan ke Kejohanan Boling Remaja Asia tahun depan, di mana Malaysia bakal menjadi tuan rumah,” katanya.

Sementara itu, dalam kategori Terbuka Lelaki, Kim Tae Jin dari Korea Selatan merangkul kejuaraan dan hadiah wang tunai RM25,000 selepas menewaskan rakan senegara dan juara bertahan Bae Jung Hun dengan keputusan 216-194 dan 270-258.

Rakan sepasukan mereka, Park Hyeon Sang menduduki tempat ketiga manakala pemain Singapura Jason Leung, di tempat keempat.

Pemain negara, Danial Abu Samah, menamatkan saingan di tempat keenam, sekali gus meraih hadiah RM2,000 dan peluang berharga untuk menjalani latihan khusus.

Sebagai pemain Malaysia dengan kedudukan tertinggi dalam kategori Terbuka Lelaki, Danial dianugerahkan sesi latihan individu tersuai bersama jurulatih bertauliah di Pusat Latihan Kegel (KTC) yang berprestij di Florida, Amerika Syarikat. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top