Adik suspek bunuh keluarga masih trauma

Adik suspek bunuh keluarga masih trauma

Adik suspek bunuh keluarga masih trauma


am@hmetro.com.my

Kuantan : Remaja lelaki berusia 15 tahun yang juga adik kepada suspek yang membunuh empat anggota keluarganya masih lagi trauma dan belum bersedia untuk menjalani sesi kaunseling dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Remaja itu juga saksi dalam kejadian menyayat hati yang berlaku di Taman Cherating Damai, di sini, kelmarin.

Pengarah JKM Pahang, Khairul Amri Ahmad berkata, pegawai JKM Kuantan bertemu remaja itu yang juga adik bongsu suspek di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, kelmarin. Turut sama dalam pertemuan itu ialah bapanya.

Menurutnya, dalam pertemuan itu remaja terbabit dilihat masih lagi trauma dan belum bersedia untuk sesi kaunseling.

“Bapanya mengambil keputusan untuk membawa anaknya (saksi) pulang ke rumahnya di FELDA Neram, Kemaman, Terengganu. Tindakan itu dikatakan bertujuan untuk menenangkan remaja terbabit.

“Pihak JKM Kuantan memutuskan untuk merujuk kes berkenaan ke JKM Kemaman dan mereka dikatakan bersedia untuk menyantuni keluarga terbabit termasuk mengadakan sesi kaunseling.

“Saya difahamkan JKM Kemaman hari ini mengadakan pertemuan dengan bapa saudara dan bapa kandung saksi bagi membantu remaja terbabit yang masih dalam trauma,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan remaja terbabit memaklumkan kejadian itu didengari kira-kira jam 7 pagi semasa dia berada dalam bilik tidur.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asistan Komisioner Ashari Abu Samah dilaporkan berkata, apabila saksi keluar bilik dan menoleh ke arah dapur, didapati ibunya dalam keadaan berlumuran darah dan menjerit supaya dia pergi meminta bantuan bapa saudaranya yang berada di belakang kawasan perumahan sama.

“Saksi kemudian meminta bantuan bapa saudaranya dan apabila tiba di rumah, dia mendapati semua mangsa dan suspek berada dalam keadaan berlumuran darah serta tidak sedarkan diri,” katanya.

Dalam kejadian itu, suspek dikatakan mencederakan isteri, Nurul Asshiykin Kamaruzaman, 33, terlebih dulu dan kemudian ibunya, Tuan Kamaria Tuan Puteh, 55, serta dua anak perempuannya, Nur Saffiyah Humairah, 4, dan Nur Sumayyah Humairah, 2, sebelum mencederakan diri dan meninggal dunia.

Kesan kecederaan terhadap mangsa ditemukan antaranya di bahagian tangan, telinga dan leher manakala polis turut merampas sebilah pisau berukuran 29 sentimeter di lokasi kejadian.

Kejadian berkenaan menggemparkan negara yang begitu menyayat hati terutama membabitkan kematian lima sekeluarga.

Jenazah lima sekeluarga itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Budaya Cerating, di sini, semalam.

Empat jenazah disemadikan dalam satu liang, manakala jenazah suspek terbabit dalam pembunuhan itu dikebumikan berasingan di tanah perkuburan sama.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top