ADUN Beseri dedah diajak 'broker' tandatangan SD guling MB Perlis

ADUN Beseri dedah diajak 'broker' tandatangan SD guling MB Perlis


khairil.ashraf@hmetro.com.y

Kuala Lumpur: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri, Haziq Asyraf Dun mendedahkan beliau antara ADUN yang dijemput untuk menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menarik sokongan terhadap Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar Perlis.

Ketua Pemuda PAS Perlis itu berkata, jemputan berkenaan dibuat oleh seorang individu yang bertindak sebagai ‘broker’.

Bagaimanapun katanya, sebagai seorang ADUN yang dipilih oleh parti, adab dan prinsipnya adalah merujuk terlebih dahulu kepada pimpinan PAS Pusat dan PAS Negeri.

“Selepas mendapatkan nasihat, saya tidak hadir dan tidak terbabit kerana jemputan tidak dibuat secara rasmi,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Pada Rabu lalu, PAS memutuskan keahlian tiga ADUN Perlis daripada parti itu terhenti serta-merta susulan tindakan mereka menandatangani SD yang didakwa menjejaskan kepimpinan kerajaan negeri.

Tiga ADUN yang digugurkan itu ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).

ADUN Sanglang, Mohd Shukri pula meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar selepas itu.

Mengulas lanjut, Haziq berkata, tindakan tiga ADUN PAS yang menandatangani SD tanpa pengetahuan dan kebenaran parti adalah satu pengkhianatan yang jelas dan tidak perlu dipolemikkan lagi.

Haziq berkata, sekiranya mereka memaklumkan kepada parti berkaitan adanya usaha itu, beliau yakin PAS Pusat tidak akan mengambil tindakan.

Beliau turut yakin ruang perbincangan dan islah masih terbuka luas untuk menyelesaikan sebarang isu dalaman sekiranya SD itu tidak ditandatangani.

“Namun, tindakan tiga ADUN ini yang bertindak di belakang parti dan mengambil jalan sendiri dengan menandatangani SD tersebut telah melangkaui batas disiplin jamaah,” katanya.

Beliau berkata, tindakan terhadap ketiga-tiga ADUN berkenaan perlu dijadikan pengajaran besar kepada seluruh ahli PAS, bukan sahaja di Perlis tetapi di seluruh negara.

“Ketegasan PAS ini juga akan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap PAS sebagai sebuah parti yang berprinsip dan berdisiplin, khususnya dalam memastikan kestabilan Kerajaan Negeri Perlis terus terpelihara. Apa yang penting adalah menjaga keyakinan rakyat terhadap PAS,” katanya.

Katanya, PAS Pusat juga membuat keputusan yang sangat tepat melalui proses yang adil dan berintegriti termasuk memberi ruang kepada tiga ADUN berkenaan untuk bersoal jawab secara langsung.

“Saya sendiri hadir dalam pertemuan itu sebagai saksi. Jika masih ada pihak yang cuba mengungkit kelemahan bekas Menteri Besar ketika beliau menjadi Pesuruhjaya PAS Perlis sebagai punca kepada isu ini, persoalannya mengapa masih mahu membangkitkan perkara tersebut sedangkan PAS Pusat telah membuat perubahan kepimpinan?

“Pesuruhjaya PAS Negeri telah ditukar, bahkan cadangan ahli Badan Perhubungan untuk tidak melantik Shukri sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis juga telah diambil kira dan ditunaikan oleh Pesuruhjaya PAS Perlis,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top