KUDAT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Datuk Ruddy Awah, 58, mahu memberi tumpuan kepada ibadah sebagai bekalan akhirat selepas beliau bersama isteri dan anak bongsunya rasmi memeluk Islam, hari ini.
Ruddy berkata, segala yang dimilikinya dalam kehidupan dunia termasuk sebagai wakil rakyat sudah mencukupi dan bukan menjadi sebab beliau memilih Islam.
“Apabila kita memilih untuk memeluk agama Islam, pengalaman hidup itulah yang saya kejar. Apa sahaja yang ada di dunia ini hanya bersifat sementara. Yang kekal adalah amal ibadat kita.
“Setelah kini saya berada dalam agama Islam, saya mahu beramal ibadat untuk bekalan akhirat nanti. Kehidupan dunia sudah cukup bagi saya,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Salimpodon Laut, Pitas, di sini, hari ini.
Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah itu berkata, keputusan memeluk Islam bukan bertujuan mengejar pangkat, kekayaan atau kepentingan lain, sebaliknya hasil hidayah yang dinantikan bersama isterinya sejak puluhan tahun lalu.
Katanya, beliau dan isterinya yang sudah hampir 40 tahun berkahwin mula mencari pegangan hidup dan hala tuju agama sebenar sejak kira-kira 10 tahun lalu.
“Hari ini adalah hari yang bersejarah buat saya, isteri dan anak saya. Kami selamat mengucap dua kalimah syahadah sebentar tadi yang dipimpin Mufti Kerajaan Negeri Sabah serta disaksikan pelbagai pihak dan tetamu yang hadir.
“Bagi saya, ini semua adalah hidayah yang sampai. Apabila hidayah itu tiba, perasaan saya amat gembira sekali sewaktu mengucap dua kalimah syahadah tadi,” katanya.
Mengenai perancangan selepas memeluk Islam, Ruddy berkata beliau akan memberi tumpuan mempelajari dan mendalami agama daripada guru, imam dan ustaz.
“Saya mahu belajar dan mendalami agama ini daripada guru-guru, imam dan ustaz yang ada. Saya berterima kasih kepada ustaz-ustaz di daerah kita yang menawarkan diri untuk mengajar selepas ini,” katanya.
Beliau turut merancang menunaikan umrah tahun depan bersama isteri dan ahli keluarga pada tahun depan.
Sementara itu, isterinya, Datin Seri Asiah Udin berkata, penghijrahan mereka dilakukan dengan tulus hati tanpa sebarang paksaan.
Katanya, suaminya sudah lama mempunyai hasrat untuk memeluk Islam, namun memilih menunggu sehingga hatinya benar-benar terbuka.
Menurutnya, minat terhadap Islam bermula sejak di sekolah rendah ketika tinggal bersama kakaknya yang beragama Islam di Pitas.
Katanya, walaupun ketika itu belum memeluk Islam, beliau tertarik dengan cara hidup keluarga berkenaan.
Ruddy bersama isteri dan anaknya rasmi memeluk Islam selepas melafazkan dua kalimah syahadah di kediaman mereka, hari ini.
Lafaz dua kalimah syahadah itu dibimbing Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar dan disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Exco Agama negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman. – UTUSAN
