Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat meluahkan rasa tidak puas hati sekiranya Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menerima permohonan aktivis kontroversi, Tamim Dahri untuk menyertai parti berkenaan.
Tolak permohonan Tamim

Tindakan menerima Tamim sebagai anggota parti berpotensi memberi mesej yang salah kepada masyarakat umum, seolah-olah KEADILAN memberi ruang golongan ekstrem dalam menangani isu berkaitan agama.
“Andainya KEADILAN menerima permohonan aktivis kontroversi Tamim Dahri untuk menjadi anggota KEADILAN, parti kita akan memberi mesej yang salah kepada masyarakat umum, bahawa KEADILAN mengalu-alukan kedatangan golongan ektrem dalam menangani isu yang melibatkan agama,” katanya dalam kenyataan
Menurutnya, Chua berkata, perkara itu dibangkitkan bersempena ulang tahun ke-18 “Tsunami Politik” yang merujuk kepada keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 Malaysia pada 2008.
Katanya, jika menelusuri perjalanan KEADILAN menjelang pilihan raya tersebut dan perkembangan politik selepas itu, parti berkenaan seharusnya bersyukur kerana kekal berpegang kepada prinsip kesederhanaan, keterangkuman dan keadilan ketika berdepan konflik dalam masyarakat majmuk.
Beliau menjelaskan bahawa sebelum ini ramai pihak meragui sejauh mana KEADILAN mampu pergi dalam landskap politik negara yang sering memihak kepada parti yang menggunakan pendekatan lebih keras dalam isu agama dan kaum.
“Ramai yang tampil sebagai ‘wira’ bangsa dan agama tertentu untuk meraih sokongan pengundi kaum masing-masing, namun KEADILAN memilih jalan tengah dengan mendamaikan pihak yang berbalah berasaskan semangat persaudaraan sesama manusia,” ujarnya.

Tambah beliau, rakyat pernah memberikan peluang kepada KEADILAN pada 8 Mac 2008 apabila parti itu melonjak daripada hanya satu kerusi Parlimen pada 2004 kepada 31 kerusi Parlimen serta berjaya membentuk kerajaan di lima negeri bersama rakan sekutu.
Menurutnya, sepanjang 18 tahun lalu parti berkenaan berusaha keras meyakinkan pengundi bahawa mereka tidak berganjak daripada garis politik berteraskan kesederhanaan tersebut.
Sehubungan itu, Chua mempersoalkan alasan untuk KEADILAN mengkhianati idealisme berkenaan ketika berada dalam kedudukan berkuasa sekiranya parti menerima individu yang dilihat mencetuskan kontroversi.
Beliau turut menegaskan bahawa tindakan sedemikian boleh memberi gambaran seolah-olah parti itu merestui perbuatan merobohkan rumah ibadat tanpa melibatkan pihak berkuasa, sedangkan KEADILAN sebelum ini menetapkan bahawa prosedur undang-undang perlu dipatuhi bagi mengelakkan ketegangan antara kaum.
“Ini masa untuk KEADILAN menggilap semula imej parti ketika ada pihak menyindir bahawa semangat Reformasi semakin malap,” tambahnya lagi.
Artikel lain:Keluar parti lepas menang kerusi, PKR saman 16 bekas wakil rakyat, tuntut RM160 juta!
Tambahnya lagi, parti itu perlu menyampaikan mesej yang jelas bahawa KEADILAN kekal berpegang pada prinsip kesederhanaan, keterangkuman dan keadilan tanpa ruang untuk provokasi atau sentimen sempit berasaskan kaum dan agama.
Sumber: Facebook Chua Wei Kiat





