ADUN Tanjong Sepat sokong penternakan babi secara terhad, terkawal

ADUN Tanjong Sepat sokong penternakan babi secara terhad, terkawal


am@hmetro.com.my

Shah Alam: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Sepat, Datuk Borhan Aman Shah menyokong pendirian Sultan Selangor supaya aktiviti penternakan babi dilaksanakan secara terhad dan terkawal bagi memenuhi keperluan komuniti bukan Islam, serta tidak dijalankan secara besar-besaran atau berorientasikan eksport.

Beliau yang juga EXCO Perumahan dan Kebudayaan Selangor menjunjung setinggi-tinggi titah serta pandangan Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung cadangan operasi penternakan babi di kawasan Kuala Langat khususnya membabitkan DUN Tanjong Sepat, termasuk perancangan pemindahannya ke Bukit Tagar.

“Sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan wakil rakyat bagi kawasan yang terbabit secara langsung, patik dengan penuh takzim menyatakan sokongan sepenuhnya terhadap pendirian baginda.

“Dalam konteks ini, aspek kawalan sistem kumbahan penternakan adalah antara elemen penting yang perlu diberi perhatian serius dan dipatuhi bagi memastikan tahap kebersihan, keselamatan alam sekitar serta kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.

“Patik turut mengambil maklum dengan penuh keinsafan pendirian tegas baginda yang tidak memperkenankan kawasan Kuala Langat dijadikan lokasi sementara penternakan sebelum pemindahan ke Bukit Tagar pada tahun 2030, mengambil kira kebimbangan terhadap risiko pencemaran, kesan terhadap kesejahteraan penduduk serta keharmonian masyarakat setempat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, selaku ADUN, pemantauan terhadap isu penternakan babi di kawasan ini dilaksanakan secara berterusan.

Katanya, pelbagai aduan daripada penduduk setempat, khususnya berkaitan pencemaran bau serta dakwaan pengurusan sisa, sentiasa diambil perhatian dan dibangkitkan melalui saluran yang sewajarnya.

“Patik menegaskan komitmen untuk terus memantau perkembangan perkara ini secara dekat serta memastikan segala tindakan yang diambil kekal selari dengan titah dan kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan, di samping mengutamakan kepentingan rakyat dan keharmonian negeri,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, Sultan Selangor murka dengan perancangan kerajaan negeri yang membenarkan operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat, bermula tahun ini, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.

Menerusi titah kenyataan, baginda tidak bersetuju khususnya apabila ada kemungkinan ia membabitkan penternakan babi berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara.


Berita Berkaitan

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top