Tiga pelakon paling hangat, Aedy Ashraf, Meerqeen dan Nadhir Nasar bergabung dalam satu naskhah menerusi Klepet, filem aksi komedi terbaharu terbitan Wawa Global Sdn. Bhd.
Diarahkan oleh Indra Putra atau Sanji, gandingan tiga nama besar ini menjanjikan kelainan dengan gabungan karakter unik dan jalan cerita penuh aksi serta kejutan.
Klepet mengisahkan pengembaraan tiga sahabat iaitu Paly, Jany dan Wady yang mahu menikmati percutian santai menaiki motorhome, namun segalanya bertukar kacau-bilau apabila muncul seorang gadis misteri dari Ukraine. Dari situ, kehidupan mereka berubah menjadi penuh kekecohan dan situasi tidak dijangka.
Indra Putra selaku pengarah berkata, Klepet menampilkan pendekatan komedi pelbagai lapisan, daripada elemen komikal, animasi hingga lawak spontan yang disesuaikan mengikut babak.
“Kami cuba cipta komedi yang lebih segar, bukan sekadar lawak biasa. Klepet ada gabungan aksi, misteri dan visual menarik yang buat penonton tak jangka,” katanya.
Filem ini turut diperkuat dengan kehadiran Aeril Zafrel, Joey Daud, Eric Fuzi, Namie SMY, Arfie Shah, Adlin Aman Ramlie dan pelakon Ukraine, Darina Porhun.
Menurut Aeril selaku penerbit, Klepet bukan sekadar hiburan ringan tetapi turut mengetengahkan mesej tentang persahabatan, pengorbanan dan kepekaan terhadap isu sekeliling.
“Kami mahu anak muda tengok filem ini bukan hanya untuk gelak, tapi juga rasa dekat dengan watak dan mesejnya,” katanya.
Dihasilkan dengan kos RM2.6 juta, Klepet menjalani penggambaran selama 25 hari di Melaka dan turut menerima sokongan Dana Kandungan Digital (DKD) daripada FINAS.
Filem ini bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 27 November 2025. Tiket boleh dibeli lebih awal melalui laman web dan aplikasi TGV.