AFC cabar kelab Liga-M lebih profesional

AFC cabar kelab Liga-M lebih profesional


Laporan Sinar Harian sebelum ini yang menyiarkan mengenai krisis kewangan yang membelenggu pasukan bola sepak tempatan. Gambar kecil: Windsor

SETIAUSAHA Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John menegaskan bahawa penswastaan Liga Malaysia (Liga-M) bukan satu kegagalan, sebaliknya menuntut pengurusan kelab lebih bertanggungjawab dalam mengendalikan pasukan masing-masing.

Menurut beliau, masalah kewangan yang sering membelenggu pasukan ketika ini bukan berpunca daripada dasar penswastaan yang bermula sejak 2021, tetapi disebabkan sikap sambil lewa segelintir kelab yang kurang proaktif dalam pengurusan pasukan.

“Setiap kelab Liga-M seharusnya lebih profesional dan langkah pengasingan daripada FA (Persatuan Bolasepak Negeri) kepada FC (Kelab Bolasepak) adalah langkah yang tepat dalam era bola sepak moden ini.

“Saya tidak melihat penswastaan Liga-M sebagai satu kegagalan, sebaliknya ia adalah satu proses untuk bergerak lebih maju ke depan,” katanya.

Pada masa sama, Windsor turut menekankan bahawa sekarang adalah masa yang tepat untuk kelab-kelab Liga-M belajar memenuhi kriteria dan ketetapan yang telah ditetapkan oleh badan induk bola sepak Asia berkenaan.

“Sampai bila kita mahu berada di takuk lama? Kelab-kelab perlu lebih proaktif dan mendalami selok-belok pengurusan kelab yang profesional,” tegasnya.

Segelintir pihak sebelum ini menyifatkan dasar penswastaan sebagai punca masalah kewangan dihadapi beberapa kelab Liga-M, sehingga ada yang merancang untuk menarik diri daripada saingan musim 2025-2026.

Dalam pada itu, Windsor menekankan bahawa pengurusan kelab Liga-M perlu lebih bijak dalam mengendalikan pasukan masing-masing dalam era bola sepak profesional.

“Jangan salahkan penswastaan kerana tanggungjawab sebenar terletak pada pengurusan kelab itu sendiri yang perlu lebih mahir menguruskan pelbagai aspek.

“Peraturan dan ketetapan oleh AFC sebenarnya sama sahaja dengan liga-liga lain. Jadi, saya percaya jika ada kelab di Liga-M ini yang mampu memenuhi peraturan, mengapa ada pasukan lain yang tidak boleh?,” soalnya.



Source link

OR

Scroll to Top