AFC perlu jejaki dalang pemalsuan dokumen pemain warisan

AFC perlu jejaki dalang pemalsuan dokumen pemain warisan

AFC perlu jejaki dalang pemalsuan dokumen pemain warisan


KESEDIAAN Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menghulurkan tangan bagi menyemak semula aspek tadbir urus dan pengurusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sememangnya satu langkah positif yang wajar disambut baik.

Namun, persoalan besar yang perlu dirungkai adakah bantuan AFC ini mampu menyelesaikan masalah utama sekali gus mencari petunjuk siapa yang bertanggungjawab dalam pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan yang telah mencalarkan reputasi Malaysia di pentas dunia.

Umum mengetahui, FAM dan tujuh pemain naturalisasi iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Manchuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel didapati bersalah melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).

Dapatan siasatan mendakwa FAM mengemukakan dokumen yang dipercayai dipalsukan bagi tujuan pengesahan kelayakan pemain dan hukuman menyaksikan FAM didenda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain dikenakan denda serta penggantungan selama 12 bulan.

Rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA pula ditolak, meletakkan harapan terakhir di tangan CAS.

Akauntabiliti

Minggu lalu, satu pertemuan antara FIFA, AFC dan FAM telah berlaku dan melalui kenyataan Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John Paul, fasa pertama itu melibatkan pengumpulan dokumen statut serta polisi sumber manusia yang dilihat menjadi langkah pertama yang penting.

Dari kiri: Rodrigo Holgado, Imanol Manchuca dan Gabriel Palmero antara pemain warisan Harimau Malaya yang terpalit dengan isu pemalsuan dokumen.

Jika proses ‘pemulihan’ AFC hanya tertumpu kepada memperkemas prosedur pentadbiran tanpa menyentuh aspek apa sebenarnya yang berlaku dalam proses pemalsuan tersebut, risiko untuk sejarah berulang amat tinggi.

Kesalahan berat ini mungkin akhirnya diklasifikasikan secara umum sebagai kegagalan sistem, sekali gus menutup kecuaian pihak tertentu seperti ejen dan sesiapa sahaja yang sepatutnya dipertanggungjawabkan.

Kita tidak boleh melupakan kegagalan Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) sebelum ini yang buntu dalam mengenal pasti individu terlibat secara spesifik.

Alasan ketiadaan kerjasama daripada Notari Awam dan ejen pemain mungkin boleh diterima dari sudut undang-undang, namun ia tidak memadamkan hakikat bahawa wujud kegagalan serius dalam pengawasan dan usaha wajar di pihak FAM sendiri.

Reformasi tanpa kompromi

Di sinilah peranan AFC menjadi sangat signifikan dan badan induk Asia itu memiliki peluang terbaik untuk memulihkan integriti FAM.

AFC difahamkan mempunyai kuasa untuk menilai struktur pentadbiran dan tadbir urus persatuan ahli, meneliti pematuhan kepada statut dan peraturan, mengemukakan cadangan pembaikan sistem dan melaporkan dapatan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Namun, harus diakui AFC bukan badan penguatkuasa jenayah dan isu ini berpotensi melangkaui ruang lingkup audit sukan semata-mata.

Dalam erti kata lain, AFC boleh mengesan di mana kelemahan berlaku tetapi untuk menamakan pihak terlibat dan membawa mereka ke muka pengadilan, ia memerlukan campur tangan pihak berkuasa tempatan.

Kejayaan untuk membongkar dalang itu sama ada siapa ejen terlibat dan sebagainya bergantung sepenuhnya kepada ketelusan FAM untuk membuka segala rekod, termasuk rantaian komunikasi dan keputusan dalaman untuk diteliti tanpa selindung.

Oleh itu, sekiranya misi ini berakhir sekadar dengan penstrukturan semula tanpa menuding jari kepada punca sebenar, mesej yang dihantar kepada umum amat membimbangkan iaitu dalam ekosistem bola sepak kita, kelemahan boleh berlaku tanpa sesiapa perlu memikul tanggungjawab.

Sebaliknya, jika AFC berani menggalakkan penilaian menyeluruh yang menelusuri proses membuat keputusan hingga ke peringkat yang lebih dalam, ia mampu menjadi titik perubahan besar buat FAM.

 

 

Ringkasan AI

  • Kesediaan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) membantu FAM mengaudit tadbir urus diharap dapat atasi masalah pemalsuan dokumen dan tingkat reputasi
  • FAM dan tujuh pemain naturalisasi didenda dan digantung kerana melanggar Kod Tatatertib FIFA akibat dokumen yang dipercayai palsu
  • Pertemuan antara FIFA, AFC dan FAM membincangkan langkah pemulihan yang melibatkan pengumpulan dokumen dan polisi sumber manusia
  • Pemulihan oleh AFC harus menyentuh aspek pemalsuan untuk mengelakkan risiko kesalahan serupa berulang dan kepincangan sistem dikenal pasti
  • Reformasi yang dicadangkan AFC termasuk menilai tadbir urus FAM dan memastikan pematuhan kepada statut, dengan harapan menjejak punca masalah dan memulihkan integriti FAM



Source link

OR

Scroll to Top