Kuala Lumpur: Pelakon dan pengarah Datuk Afdlin Shauki, 54, lega dan bersyukur hubungannya dengan pelakon Que Haidar, 46, kembali jernih selepas lebih sedekad tidak bercakap.
Afdlin atau nama sebenarnya Afdlin Shauki Aksan mengakui kerinduan terhadap Que terubat akhirnya meskipun tidak menyatakan sebab yang ‘memisahkan’ mereka selama ini.
“Lama tidak berbual dengan Que sebab ada insiden yang sekarang ini kita boleh lupakan. Rindu nak kerja dengan Que pasal saya percaya dia antara pelakon terbaik di Malaysia.
“Perjumpaan tempoh hari bukan kali pertama tapi sebak di dada tak dapat dibendung kerana rasa macam ruginya kami tidak berbual selama sedekad lebih,” katanya dalam satu hantaran video.
Dalam video berkenaan, Que atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar kelihatan menangis, berpelukan, dan mencium tangan Afdlin dalam situasi cukup menyentuh hati.
Sekali gus, Afdlin berharap hubungannya dengan pelakon yang disifatkan cukup versatil dan dinamik itu akan terus erat serta dapat kembali bekerjasama.
“Kami saling bermaafan dan harapan saya, ini adalah permulaan baru untuk kami. Saya sayang kamu Que,” katanya.
Que pernah membintangi filem Misteri Jalan Lama arahan Afdlin pada 2011.
© New Straits Times Press (M) Bhd