syazrina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Affin Hwang Investment Bank Berhad (AFFIN Hwang) mengumumkan kerjasama dengan Cboe Global Market Inc (Cboe) bagi memperkenalkan VIX Futures buat pertama kali di Malaysia, yang disenaraikan di Cboe Futures Exchange (CFE).
VIX Futures ialah kontrak piawai yang diselesaikan secara tunai dan membolehkan pelabur melakukan lindung nilai terhadap jangkaan ketidaktentuan pasaran pada masa hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif Affin Hwang Investment Bank Berhad, Hanif Ghulam Mohammed berkata, sejak 2023, pihaknya secara terancang mengembangkan tawaran Foreign Futures (Niaga Hadapan Asing) menerusi kerjasama strategik dengan pemain pasaran global terkemuka.
“Hari ini, bersama Cboe dan VIX Futures, kami membawa aspirasi itu lebih jauh dengan menawarkan akses kepada instrumen dagangan di bursa yang berkaitan dengan volatiliti.
“Ia semakin relevan dalam cara pelabur mentafsir perubahan keadaan pasaran dan mengambil bahagian dengan lebih berdaya tahan merentasi kitaran.
“Pelancaran ini mendorong pertumbuhan Foreign Futures Affin Hwang ke fasa seterusnya dengan memadankan akses pasaran bersama pendidikan berstruktur serta pengambilan pelanggan yang berdisiplin bagi membina kesiapsiagaan pelabur dan menyokong penyertaan yang lebih bermaklumat,” katanya pada majlis pelancaran di Menara Affin di sini, semalam.
Pelancaran ini turut dihadiri oleh Pengarah Derivatif dan Pasaran Karbon, Bursa Malaysia, Mohd Saleem Kader Bakas; Pengarah Kanan Ketua Jualan Derivatif (APAC) CBOE, Sharon Ang; dan Pengarah Perisikan Pasaran Derivatif CBOE, Wei Liao.
Dalam pada itu, Hanif berkata, pelancaran berkenaan membolehkan pihaknya menawarkan lebih banyak produk dan alat alternatif kepada pelanggan untuk tujuan pelaburan.
Menurutnya, VIX Futures diperkenalkan pada waktu yang tepat berikutan ketidaktentuan yang ketara dalam pasaran ekuiti ketika ini.
“VIX pada masa ini adalah Foreign Futures berasaskan indeks ketidaktentuan yang menjejaki pergerakan turun naik pasaran dan lazimnya melonjak ketika berlaku episod volatiliti.
“Pelancaran ini adalah yang pertama membabitkan CBOE dengan produk lain termasuk opsyen berasaskan ketidaktentuan sedang dirancang.
“Jadi, apa yang ingin kami sampaikan kepada pelanggan kami adalah mereka tidak lagi hanya bergantung kepada produk berarah seperti dagangan ekuiti tradisional beli dan jual, sebaliknya segmen Foreign Futures ini diperkenalkan sebagai satu lagi laluan pelaburan untuk pelanggan kami,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






