PETALING JAYA: “Kami mahukan Syed dan Alhamdulillah, Allah makbulkannya. Subhanallah.”
Demikian luahan pelakon, Afifah Nasir selepas mengumumkan dirinya bakal menimang cahaya mata lelaki tidak lama lagi.
Menerusi sebuah hantaran di Instagram, Afifah turut meluahkan rasa bersyukur apabila satu persatu doanya bersama suami tercinta, Syed Hariz dimakbulkan Ilahi.
“Bila difikirkan semula, betapa indahnya apabila Allah mendengar perancangan kita. Hariz pernah kata dia mahu 2024 menjadi tahun untuk kami fokus antara satu sama lain dan InsyaAllah, mahu timang cahaya mata pada 2025.
“Kami juga ada bercakap tentang jantina bayi. Walaupun kami berdua tidak begitu kisah mengenainya, jauh di sudut hati kami tahu kami berdua dalam diam berharap dapat anak lelaki,” katanya di kapsyen.
Dalam hantaran sama, Afifah turut berkongsi momen ketika mengadakan majlis gender reveal bersama keluarganya di sebuah hotel mewah.
Indah dihiasi dekorasi berwarna coklat dan biru lembut, sesi pendedahan jantina bayi itu juga dilihat disambut meriah dan penuh kesyukuran meskipun secara sederhana.
Pada Mei lalu, Afifah mengumumkan dia dan suami bakal menimang cahaya mata sulung namun tidak mendedahkan usia kandungannya.
Afifah dan Syed Hariz mendirikan rumah tangga pada 5 Mei 2024.-UTUSAN