KEDAH Darul Aman (KDA) FC dan Perak FC masih mempunyai ruang untuk meneruskan perjuangan dalam saingan bola sepak tempatan apabila boleh beraksi di pentas Liga A1, biarpun gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan untuk musim 2025.
Pengerusi Liga Bola Sepak Amatur Malaysia (AFL), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pihaknya membuka pintu buat kedua-dua kelab itu untuk kekal bersaing menerusi Liga A1 selepas kegagalan mereka memenuhi syarat pelesenan seperti diumumkan badan bebas, First Instance Body (FIB).
“Kita tidak mahu bila pasukan jatuh, terus hilang. Liga A1 ini jadi platform untuk KDA FC dan Perak FC terus hidup, terus berjuang,” katanya, ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kenderaan daripada Carsome kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Khamis.
Sebelum ini, FIB mengumumkan Kedah dan Perak gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan, sekali gus tidak dapat beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim hadapan.
Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif memaklumkan, kegagalan tersebut berpunca daripada ketidakpatuhan terhadap kriteria kewangan seperti yang digariskan dalam Peraturan Pelesenan kelab Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Edisi 2024-2025.
Mengulas lanjut, Mohd Yusoff yang juga Timbalan Presiden FAM menegaskan, kegagalan dua kelab ternama itu mendapat lesen kebangsaan perlu dilihat secara positif sebagai langkah pemulihan jangka panjang.
“Pasukan seperti ini perlukan ruang untuk menarik nafas, menyusun kembali struktur pasukan dan membina semula kekuatan secara berperingkat. Harapan kita, suatu hari nanti mereka akan kembali semula ke Liga Super,” ujarnya.