AFL tekad bentuk liga berkualiti

AFL tekad bentuk liga berkualiti


AFL tekad mahu memastikan saingan Liga A1 terus berkualiti.

LIGA Bolasepak Amatur (AFL) mahu memastikan saingan Liga A1 berlangsung lebih berkualiti dan kompetitif musim depan.

Pengerusi AFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pendekatan itu akan dilakukan pihaknya dalam usaha memastikan liga tersebut dapat mengisi kekosongan selepas Liga Premier dan Piala MFL tidak lagi dianjurkan.

Menurutnya, AFL juga giat menyusun semula struktur penyertaan pasukan menjelang musim baharu liga yang dijadual bermula pertengahan Julai ini.

“Setakat ini AFL memberi keutamaan kepada pasukan-pasukan Liga A1 sedia ada serta yang layak dari Liga A2 musim lepas.

“Bagaimanapun, daripada senarai tersebut, beberapa pasukan juga dilihat ‘tidak sihat’ apabila dikaitkan dengan isu tunggakan gaji,” katanya.

Dalam masa sama, AFL turut memberi ruang kepada pasukan-pasukan baharu yang mempunyai kedudukan kewangan lebih stabil untuk menyertai liga berkenaan.

Beliau berkata, antara pasukan yang dipertimbangkan termasuklah bekas peserta Piala MFL, Liga A2 dan Liga A3, selain beberapa pasukan dari luar sistem liga sedia ada yang dilihat mampu memenuhi syarat kemasukan.

“AFL berhasrat untuk membentuk Liga Divisyen 2 yang berkualiti dan mampan. Ini penting sebagai platform pembangunan serta laluan untuk pasukan-pasukan ke Liga Super.

“Fokus kami memastikan hanya pasukan yang bersedia dari segi kewangan, pengurusan dan teknikal dipilih. Sasaran kami ialah mendapatkan 14 pasukan terbaik untuk membentuk saingan kompetitif dan bersedia naik ke Liga Super musim 2026-2027,” katanya.

Usaha ini selari dengan hasrat AFL untuk memperkukuh ekosistem bola sepak tempatan dengan mewujudkan liga yang lebih stabil dan profesional di peringkat akar umbi.



Source link

OR

Scroll to Top