AGC kaji penubuhan unit khas untuk Sabah dan Sarawak

AGC kaji penubuhan unit khas untuk Sabah dan Sarawak



am@hmetro.com.my

Kuching: Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang mengkaji keperluan untuk menubuhkan Unit Rayuan dan Perbicaraan di Sabah dan Sarawak.

Peguam Negara, Datuk Mohd Dasuki Mokhtar berkata, unit itu khusus untuk rayuan kes jenayah bagi dua negeri terbabit.

“Unit itu akan dianggotai oleh Timbalan Pendakwa Raya yang berpengalaman dan berkemahiran tinggi dalam semua faktor,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Tahun Undang-Undang Sabah dan Sarawak, di sini, hari ini.

Mohd Dasuki turut menegaskan pendakwa raya perlu meningkatkan kemahiran diri dengan menyertai pembelajaran sepanjang hayat dengan menghadirinya bengkel, menerima pengalaman baharu dan teknologi baharu.

“Saya juga mengharapkan pelaksanaan penuh sistem e-Daftar ke Sabah dan Sarawak bagi memastikan kelancaran pendaftaran kertas siasatan yang dirujuk oleh semua agensi penguatkuasaan kepada AGC,” katanya.

Beliau berkata, AGC akan menempatkan semula dan menaik taraf tujuh pejabat pendakwaan daerah termasuk di Lahad Datu, Sabah sebagai inisiatif untuk menyediakan persekitaran kerja yang selesa untuk pegawai di seluruh negeri.

“AGC juga sudah berjaya melupuskan semua 1,056 permohonan seluruh negara yang ditetapkan di Mahkamah Persekutuan sejak mula berkuat kuasa Akta Semakan Hukuman Mati dan Penjara Seumur Hidup (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 pada 12 September 2023.

“Sepanjang tahun lalu, menyaksikan perkembangan ketara dalam landskap perundangan, daripada kemajuan dalam teknologi dan digital kepada usaha berterusan untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan undang-undang,” katanya.

Menurutnya lagi, AGC menunjukkan daya tahan dalam menyesuaikan diri dengan keperluan masyarakat kita yang semakin berkembang.

“Peralihan ke arah platform digital telah membolehkan AGC untuk terus berkhidmat kepada orang ramai sambil mengekalkan integriti dan kebolehcapaian proses kehakiman.

“Sejajar dengan arahan Transformasi Digital Kerajaan, AGC membangunkan sistem dalam talian yang dikenali sebagai “Modul Daftar Kertas Siasatan” (e-Daftar) dan “Modul e-Representasi” (e-Rep),” katanya.

Beliau berkata, selain mesra alam kerana pendekatan tanpa kertas, sistem pengurusan kes digital membolehkan pengesanan kes yang cekap daripada siasatan awal hingga keputusan akhir.

“Sistem ini dilengkapi dengan ciri amaran yang akan memberitahu pengguna melalui e-mel sekiranya masa yang diperuntukkan untuk tindakan tertentu hampir luput atau tamat,” katanya.

Menurutnya lagi, sistem itu mampu mengurangkan masa dan sumber yang diperlukan untuk menguruskan jumlah besar kes jenayah, membolehkan pihak pendakwa menumpukan perhatian kepada aspek substantif.

“Sistem e-Daftar telah merekodkan 455,170 kertas siasatan dan kini digunakan di 10 Negeri, 161 agensi dan 391 Timbalan Pendakwa Raya.

“E-Rep akan menggantikan proses manual untuk mengendalikan representasi yang dikemukakan oleh peguam. Mereka akan dimaklumkan secara automatik melalui e-mel, dan status perwakilan boleh disemak dalam talian,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top