Agenda SMJ nampak hasil positif lonjak ekonomi, tarik pelabur – Hajiji

Agenda SMJ nampak hasil positif lonjak ekonomi, tarik pelabur – Hajiji


KOTA KINABALU – Agenda pembangunan Sabah melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) kini berada di landasan yang betul, menampakkan hasil positif dalam menarik pelabur dan melonjakkan ekonomi negeri, seterusnya membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Setelah empat tahun menerajui negeri, Hajiji menyatakan keyakinan kerajaan Sabah untuk melaksanakan hala tuju tersebut dengan memberi tumpuan kepada beberapa sektor penting, termasuk pertanian, perindustrian, dan pelancongan, serta pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat.

“Dengan sokongan jemaah kabinet negeri, segala perancangan dan dasar dapat dilaksana sesuai dasar Hala Tuju SMJ yang menjadi asas kepada corak kemajuan dan pembangunan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sabah sempena ulang tahun kelahiran rasmi ke-71 Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu di sini hari ini.

Pada majlis itu, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mendahului seramai 47 orang menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat masing-masing.

Dalam pada itu, Hajiji berkata Sabah menyumbang 5.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023 berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, Julai lalu.

Beliau berkata Sabah turut menerima pelaburan RM11.34 bilion, iaitu ketujuh tertinggi di Malaysia, dengan 13.3 peratus diperoleh daripada sektor pembuatan pada tahun lepas.

Mengenai sektor pelancongan, Ketua Menteri berkata Sabah menyaksikan peningkatan kehadiran pelancong seramai 1.7 juta orang setakat Januari hingga Julai tahun ini, dengan pelancong tempatan lebih 1.05 juta dan antarabangsa seramai 706,383 orang.

“Perkembangan ini jelas bahawa sektor pelancongan Sabah terus menunjukkan pertumbuhan kukuh dan dapat mencapai sasaran seramai tiga juta pelancong ke Sabah pada tahun ini,” katanya.

Menurutnya kerajaan Sabah bertekad memperhebat lagi pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyatnya menerusi pelaksanaan inisiatif meliputi pelbagai sektor.

Ketua Menteri berkata kerajaan Sabah juga sedang meneroka potensi Ekonomi Biru (Blue Economy) iaitu penerokaan khazanah laut sebagai sumber ekonomi baharu dan lain-lain produk industri yang boleh dihasilkan daripadanya.

“Sabah dikelilingi oleh Laut Cina Selatan, Laut Sulu dan Laut Celebes, berpotensi tinggi untuk penerokaan dan pembangunan Ekonomi Biru. Bagi merealisasikan usaha ini, kerajaan negeri akan menganjurkan seminar bertaraf antarabangsa berkaitan ‘The Blue Economy’ pada bulan ini,” katanya.- BERNAMA



Source link

OR

Scroll to Top