KAJANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa pelantikan Duta Malaysia yang baharu ke Amerika Syarikat (AS) telah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Menurut Anwar, nama duta tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat selepas melalui proses akhir pelantikan rasmi.
“Calon duta ke AS akan diumumkan dalam masa terdekat, segera. Sudah ada keputusannya dan Agong juga sudah perkenan.
“Kita akan umumkan, namun prosesnya sedang berjalan. Kalau boleh, sabar dahulu sehari dua ini,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Prima Saujana, di sini hari ini.
Pada 14 Februari lalu, Anwar memaklumkan calon baharu Duta Besar Malaysia ke AS bagi menggantikan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz telah dimuktamadkan.
Pelantikan tersebut dibuat susulan kekosongan jawatan itu selepas tempoh perkhidmatan Nazri sebagai Duta Besar tamat pada 8 Februari lalu.
Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr. Ong Kian Ming pernah mencadangkan lima individu untuk dipertimbangkan sebagai calon pengganti, termasuk bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Selain itu, ialah bekas Pengerusi CIMB, Tan Sri Nazir Razak; bekas Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff dan Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia, Datuk Dr Mohd. Faiz Abdullah.-UTUSAN