Aguero 'kunci mulut', spekulasi ke KDN FC makin hangat

Aguero 'kunci mulut', spekulasi ke KDN FC makin hangat


mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain naturalisasi negara Sergio Aguero, yang menyerlah ketika aksi persahabatan Manchester United menentang Asean All-Stars, baru-baru ini, memilih untuk berdiam diri mengenai masa depannya walaupun prestasinya mendapat perhatian ramai.

Dalam perlawanan yang berlangsung penuh sengit itu, Aguero mencuri tumpuan dengan aksi bertenaga di atas padang hingga menerima pujian daripada barisan kejurulatihan The Red Devils.

Kehebatannya itu sekaligus mencetuskan desas-desus bahawa dia bakal menyertai Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Namun, ketika ditanya selepas tamat perlawanan sama ada aksi cemerlangnya itu akan membuka peluang menyertai pasukan baharu, Aguero mengambil pendekatan selamat.

“Saya tidak boleh bercakap mengenai perkara ini,” katanya ringkas.

Ketika ini, masa depan Sri Pahang FC, pasukan yang diwakili Aguero, masih menjadi tanda tanya sama ada mereka kekal dalam saingan Liga M atau mengikut jejak Perak FC yang menarik diri walaupun pasukan terbabit lulus permohonan Pelesenan Kebangsaan.

Lebih menguatkan spekulasi perpindahan Aguero ke Pantai Timur itu adalah kenyataan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, yang memberi bayangan seorang pemain Asean ‘First XI’ akan menyertai KDN FC.

“ASEAN First XI, insya-Allah salah seorang daripadanya akan bersama pasukan Kelantan. Doakan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Nama Aguero kini berada dalam radar beberapa kelab tempatan berikutan pengalaman luas serta tahap permainan yang masih kompetitif.

Jika benar dia menyertai KDN FC, ia pasti menjadi suntikan besar kepada skuad yang sedang dalam proses pembinaan untuk kembali bersaing secara kompetitif musim depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR